Rabu, Jun 30, 2010

SUKANEKA KARNIVAL MASJID AS-SALAM MERIAH

Masjid As-Salam Puchong Perdana telah melaksanakan PROGRAM KARNIVAL MASJID AS-SALAM PUCHONG PERDANA pada 26 dan 27 Jun 2010 yang lalu. Sukaneka menjadi salah satu pengisian dalam karnival yang dijalankan pada 27 Jun 2010 (ahad).

Cuaca dan suasana yang dingin selepas hujan sekitar jam 7.30 pagi tidak menjadi penghalang untuk kariah masjid ini terutamanya kumpulan kanak-kanak datang mendaftar diri untuk acara-acara yang dipertandingkan.Tidak ketinggalan, kaum ibu dan bapa juga turut memeriahkan suasana di Masjid As-Salam pada pagi tersebut. Kumpulan remaja yang dikenali sebagai Nisa’ Puchong dengan kekuatan anggota seramai hampir 20 orang menjadi badan pengurusan untuk acara sukaneka pada hari itu.Gambar 1 : Pendaftaran kategori kanak-kanak (7- 9 tahun)

Sebanyak 5 kategori dibuka kepada pendaftaran secara “walk in” iaitu kategori cilik (5-6 tahun), kategori kanak-kanak (7-12 tahun), kategori remaja (13-17 tahun), kategori dewasa (18 tahun ke atas), kategori terbuka. Antara acara yang dipertandingkan:

i) Kategori Cilik (5 dan 6 tahun)
a. bawa bola pingpong dalam sudu
b. menjunjung buntil
c. mencari gula-gula dalam tepung

ii) Kategori Kanak-kanak (7-12 tahun)
a. belon beracun
b. mencantum puzzle Nisa
c. mengisi air dalam botol guna span

iii) Kategori Remaja (13-17 tahun)
a. pancing botol
b. kembar siam – jln dgn kaki diikat dgn pasangan
c. kasut tempurung
d. baling belon berair ke belakang

iv) Kategori Dewasa (18 tahun ke atas)
a. bowling kelapa
b.lari bawa lilin
c.kopek bawang paling banyak
d. menganyam ketupat

v) Kategori Terbuka
a. pertandingan mewarna utk 3 tahap iaitu:
(i) tadika
(ii) sek. rendah tahap 1
(iii) sek. rendah tahap 2
b. mencari harta karun untuk ibu bapa sahaja
c. taji ayam untuk bapa sahaja

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Nazir Masjid As-Salam Tuan Hj Yasim Mohamed dan Ketua Biro Muslimah Pn Noor Hanim selepas solat zuhor. Hadiah disediakan untuk tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati untuk semua kategori yang dipertandingkan. Penyampaian hadiah kepada pemenang juga diselang-selikan dengan cabutan nombor bertuah sebanyak 25 kali. Suasana meriah dan harmoni pada ketika itu disambut dengan tepukan ketika nama-nama pemenang dan nama cabutan bertuah diumumkan.

Diantara program lain yang mengisi jadual karnival masjid pada hari tersebut ialah pertunjukan silat gayong. Pertunjukan yang dibuat di lobi Masjid As-Salam selepas solat zuhor mendapat sambutan penonton yang sangat menggalakan. Tangga masjid menjadi tempat yang paling strategik untuk penonton melihat pertunjukan itu secara lebih jelas. Dengan pertunjukan ini disusuli dengan edaran flyer yang membuka penyertaan keahlian baru Silat Goyong, diharapkan kariah Masjid As Salam terutamanya kelompok remaja dapat memanfaatkan aktiviti untuk mengisi masa-masa remaja dari aktiviti-aktiviti yang kuarang atau tidak bermanfaat.



Sukaneka di karnival Masjid As-Salam telah dilaksanakan dengan meriahnya. Pihak pengurusan Masjid As Salam dan badan pelaksana sukaneka iaitu Nisa’ Puchong mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga Puchong yang hadir memeriahkan sukaneka tersebut. Di harapkan agar acara seperti ini dapat dilaksanakan lagi dalam usaha menjadikan Masjid As Salam bukan sahaja tempat beribadat dan ruang memperkasakan ilmu, malah ianya juga boleh berfungsi sebagai medan pertemuan untuk beriadah dan bersukan dalam masa yang sama adab dan akhlaq sebagai muslim dapat dipupuk dan disemai terutama di kalangan anak-anak yang perlu didedahkan dengan cara hidup Islam yang syumul. Semoga berjumpa lagi di masa akan datang.

nukilan: arin@nor zarina M.A

Jadikan Masjid "One Stop Center"

PUCHONG, 29 Jun 2010 - Jawatankuasa Masjid As-Salam Puchong Perdana atau dikenali sebagai Masjid Terapong, di sini berhasrat menjadikan pusat ibadat itu "One Stop Center" merangkumi pelbagai bidang.

Nazir Masjid berkenaan Tuan Haji Yasim Mohamed berkata, sejajar dengan itu, pihaknya bakal menganjurkan satu karnival produk halal secara besar-besaran pada Oktober depan.

Katanya, peniaga digalakkan bersedia untuk acara berkenaan bagi mendapatkan menafaat, malah ia turut memberi kebaikan kepada pembangunan ekonomi masjid.


"Kita tidak mahu masjid dijadikan tempat beribadah semata-mata tetapi mahu ia menjadi pusat merangkumi pelbagai aspek termasuk perkara membabitkan ekonomi yang menjadi tuntutan.

"Apa guna masjid besar tetapi tiada aktiviti ekonomi dijalankan bagi menampung pembangunannya.... kita mahu masyarakat setempat mendapat keberkatan selaras tagline masjid iaitu untuk menjadikan Masjid As-Salam Puchong Perdana sebagai Pusat Pengembangan Budaya Toleransi serta Pengembangan Budaya Perdamaian," katanya ketika berucap pada Karnival Amal di dalam masjid itu, Sabtu lalu.

Selasa, Jun 29, 2010

Karnival Masjid As-Salam berlangsung dengan penuh meriah


Ahli Panel Forum Perdana Ehwal Islam

Masjid As-Salam sekali lagi telah berjaya membuktikan bahawa Masjid bukan sahaja hanya satu tempat untuk beribadah, tetapi boleh dijadikan sebagai sebuah pusat beriadah mahupun sebagai sebuah pusat bagi penganjuran berbagai program untuk kepentingan anak kariah setempat.



Baru-baru ini pada 26 – 27 Jun boleh dikatakan suasana di Masjid As-Salam agak berbeza dari kebiasaan, bermula dari seawal jam 8.00 pagi hingga ke 1000 malam, Masjid As-Salam tidak putus-putus dikujungi orang ramai. Ini adalah disebabkan satu karnival Masjid telah diadakan diperkarangan parkir Masjid As-Salam, seramai 69 peniaga, 4 agensi kerajaan iaitu BOMBA, AADK, PUSAT ZAKAT dan LPPKN telah mengambil bahagian.


Karnival anjuran Masjid As-Salam bersama JAIS, MAIS, JAKIM dan AMANAH IKHTIAR ini telah merangka berbagai program untuk dipertontonkan kepada orang ramai, antaranya Bengkel seminar HIV / AIDS, pameran, pemeriksaan kesihatan, forum Perdana, pertunjukan seni silat gayong, pertandingan nasyid (peringkat dewasa/ kanak-kanak), sukaneka (dewasa/ kanak-kanak) dan cabutan bertuah.



Biro Ekonomi Masjid As-Salam selaku Biro yang mengurus karnival yang diketuai oleh Encik Zakaria serta beberapa Biro dan NGO seperti Biro Muslimah, Nahi Mungkar, AN-NISA’ turut berganding bahu dalam menjayakan karnival ini.

Pada 26 jun, karnival ini diurus sepenuhnya oleh pertubuhan kebajikan AMANAH IKHTIAR, pada hari tersebut, Tuan Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed telah diberi penghormatan untuk membuat ucapan perasmian.

Selepas dari itu, kesemua aktiviti yang dianjurkan telah berjalan serentak antaranya pertandingan nasyid dan memasak sehinggalah cabutan bertuah yang berlansung disebelah petang.

Selepas solat maghrib, Tuan Haji Yasim berkehendakan agar diadakan solat sunat gerhana bulan yang kebetulan berlaku pada hari yang sama, solat yang dipimpin oleh Imam 2 Ustaz Firdaus dan khutbah disampaikan oleh Imam 1, Ustaz Idris itu dianggarkan 300 jemaah telah hadir.


Bukan itu sahaja, malahan selepas solat sunat tersebut, seluruh jemaah yang hadir dapat bersama-sama melihat Masjid As-Salam menerima saudara baru dari Negara NIGERIA yang ingin memeluk islam.

Keesokan harinya pula, karnival diurus sepenuhnya oleh pihak Masjid As-Salam, peserta kursus haji yang secara kebetulan ada pada hari itu turut bersama memeriahkan karnival tersebut. Sebanyak 25 hadiah cabutan bertuah, 10 kategori sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa diadakan bagi memeriahkan suasana karnival pada hari itu.

Disamping itu, berbagai-bagai gerai jualan dibuka bagi memberi ruang kepada pengunjung karnival membeli belah. Sebelah malam pula, selepas solat solat maghrib, satu Forum Perdana anjuran Masjid As-Salam bersama JAKIM telah diadakan, forum perdana tersebut membabitkan 3 ahli panel yang cukup hebat antaranya Dr Masitah Muhamad Ketua Penolong Pengarah unit STD / AIDS Kementerian Kesihatan Malaysia, Ustaz Farizyan Subki Ketua Dakwah Lembaga Zakat Selangor dan En Zainuddin Ahmad Pengasih Malaysia.

Tuan Haji Yasim pula bertindak sebagai moderator. Istimewanya pada malam itu, En Zainuddin Ahmad sudi berkongsi tentang pengalaman pahit hidupnya sebagai seorang penghidap HIV, dan kini beliau telah membukti bahawa beliau yang asalnya seorang penagih dadah kini telah banyak memberi jasa kepada agama, bangsa dan Negara.
Sepanjang sesi Forum Perdana berlangsung, Tuan Haji Yasim Mohamed selaku moderator telah berjaya menarik perhatian jemaah sekalian dengan berperanan mengajukan soalan-soalan yang cukup teratur dan berkesan sekali gus membuatkan jemaah yang hadir pada malam itu tidak merasa bosan dan sedikit pun tidak berganjak.

Pihak Masjid As-Salam ingin merakam setinggi – tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival ini serta tidak lupa juga kepada anak-anak kariah yang telah menyokong kami dalam penganjuran aktiviti seumpama ini.

Semoga di masa hadapan sokongan seluruh anak kariah akan lebih baik dalam kita sama-sama memastikan VISI DAN MISI Masjid As-Salam tercapai.

Afizan,
Melaporkan untuk Karnival Masjid As-Salam

Isnin, Jun 28, 2010

DIALOG KOMUNITI BERSAMA AJK DAN BIRO-BIRO



Anda ada cadangan?





Anda ada idea untuk dikongsi?





Kurang berpuas hati dengan pengurusan Masjid As-Salam?





Kurang berpuas hati dengan Kuliah Maghrib / ceramah?





Berhasrat untuk menjadi sukarelawan Masjid?





Berhasrat untuk memberi khidmat semasa Ramadhan?





Ingin menyumbang tapi tak tahu bagaimana?






Ada kepakaran untuk dikongsi dengan jemaah?






Tuan / Puan dijemput hadir untuk mendapat jawapan kepada pertanyaan di atas:






Program Dialog Komuniti Masjid As-Salam





Tarikh: 30/6/2010 (Rabu)





Masa : Selepas solat Maghrib





Tempat: Dewan solat Masjid As-Salam






Semua anak kariah dijemput hadhir

Sabtu, Jun 26, 2010

Intisari Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid As-Salam pada 25-6-2010

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan tamadun alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ianya merupakan asas pembangunan insan dan kemajuan alam.
Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oIeh Rasulullah s.a.w. dalam surah Al-‘Alaq ayat 1-5 :
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".


Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Mengikut ahli Mufassirin mereka mengatakan surah Al-‘Alaq ini mengandungi tiga perkara besar:


Pertama: Mengenal Allah Rabbul ‘Alamin yang Maha Esa dan Maha Kuasa, yang menghidupkan dan mematikan manusia.

Kedua: Ilmu tentang "manusia dan kemanusiaan" yang telah diciptakan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk yang lain.

Ketiga: "Nikmat ilmu pengetahuan" yang telah diajarkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia melalui pena dan tulisan.

Imam Al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan. Ia merupakan dasar utama yang diperjuangkan oIeh Islam bagi membangunkan diri insan.

Islam yang di dalamnya tersingkap keindahan ajarannya menggesa umatnya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal di mana membaca adalah salah satu cara di antara cara-cara tersebut .

Iqra', kalimah pertama yang diturunkan kepada insan terpilih Muhammad Rasulullah s.a.w. Kalimah yang mempunyai hikmah, rahsia dan mukjizat yang tersendiri. Apabila kita menghayati gagasan semangat iqra' yang diceritakan melalui Rasulullah dengan turunnya ayat pertama surah Al-‘Alaq ia boleh membuka minda ummah daripada terpenjara dalam pemikiran yang sempit dan jumud.

Dr. Wahbatuz-Zuhaili menggambarkan bahawa nilai-nilai penting yang ada pada wahyu pertama ini, lebih kepada mengajak manusia bagi memahami kepentingan membaca dan menulis.

Melalui wahyu pertama, Tuhan memberikan mukjizat kepada nabi yang dikenal sebagai buta huruf, hal ini sebagai petanda bahawa Tuhan menganugerahkan kepada manusia "akal" yang menjadikan manusia lebih bernilai berbanding makhluk-Nya yang lain. Manusia dikeluarkan daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya ilmu melalui budaya membaca dan menulis.

Imam Malik mengungkapkan:
"Ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (agar ia tidak dapat lari).

Dengan membaca segala rahsia dapat dibongkar dengan melakukan penyelidikan mendalam dalam semua bidang. Ilmu adalah makanan rohani dan spiritual. Tanpa ilmu, rohani dan spiritual proses perkembangan manusia menjadi tidak seimbang.

Ini yang menyebabkan banyaknya berlaku gejala sosial yang semakin hari semakin bernanah dalam masyarakat kita. Gejala rogol, seks bebas, dadah, arak, judi, termasuk judi bola dan sebagainya menjadi masalah yang tidak selesai sejak dahulu lagi.

Masyarakat Islam terdahulu mengalami ledakan ilmu yang hebat. Daripada ilmu agama hinggalah kepada ilmu berkaitan sains. Munculnya tokoh-tokoh terkenal dan terbilang seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Jabbar, Al-Kindi dan Al-Khawarizmi. Mereka ini bukan sahaja menjadi rujukan umat Islam, tetapi umat seluruh dunia. Ia berlaku di atas penghayatan dan pengaplikasian Konsep Iqra'.

Pengalaman budaya membaca dalam masyarakat kita terutamanya di Malaysia amnya dan di negeri Selangor khususnya masih di tahap sederhana. Statistik yang dikeluarkan berdasarkan kajian profil membaca rakyat Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun. Ini adalah satu peningkatan yang baik berbanding statistik yang sama dibuat pada tahun lapan puluhan.

Pelbagai usaha dilakukan oIeh kerajaan ke arah Bangsa Cintakan Ilmu Cintakan Pembacaan. Setiap tahun selama lima tahun berturut-turut sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menganjurkan Pesta Buku Negeri Selangor. Pada tahun ini ia akan diadakan dari 25 Jun hingga 5 Julai bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam.

Di samping itu, satu program yang dinamakan ‘Hari Ilmu' dan Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor akan juga diadakan bertempat di Taman Tasik, Shah Alam pada 26 Jun 2010 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir dan insya-Allah ianya akan dicatatkan sebagai Acara Membaca Beramai-ramai Terbesar di Malaysia.

Usaha bersepadu ini adalah bagi memastikan budaya ilmu menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri khususnya dan negara amnya. Salah satu kriteria kepada sesebuah negara maju adalah Kemajuan Industri Perbukuan Dan Penulisan di negara tersebut yang sentiasa pesat dan meluas.

Islam adalah agama yang menaungi dunia ilmu. Banyak agama lain yang mencuba menggabungkan antara Dunia Ilmu Sains dengan agama mereka, namun begitu mereka masih gagal.

Islam adalah satu-satunya agama atau ad-din yang dapat menggabung-jalinkan dengan Dunia Sains tanpa sebarang masalah. Islam adalah agama segala cabang ilmu yang bermanfaat. Setiap kalimah dan ayat di dalam Al-Quran adalah kata-kata tersirat yang jika diterjemahkan akan memberikan nilai dan hikmat kepada semua pembacanya.

Untuk menjadi bangsa berilmu, kita seharusnya memohon kepada Allah agar kita diberikan limpahan ilmu yang berguna. Ia tidak akan berlaku semata-mata dengan doa sahaja. Ia perlu dijalankan dengan usaha bersepadu daripada semua pihak.

Pembinaan Perpustakaan Mini atau pun sudut bacaan di rumah-rumah adalah suatu permulaan yang baik. badan-badan kerajaan, tempat-tempat awam dan terutamanya masjid-masjid seharusnya mempunyai perpustakaan tersendiri.

Ilmu yang dicari dan dimiliki begitu sahaja tanpa diamalkan tentu tidak memberi kesan. Sebab itu, mencari ilmu mestilah dengan niat mengamalkannya.

Ini kerana para ulama' Islam ada yang mengingatkan bahawa orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan disiksa sebelum penyembah berhala disiksa.

Marilah kita sama-sama meningkatkan usaha mencari ilmu dan beramal dengannya. Semoga dengan usaha dan kegigihan dalam pencarian ilmu ini, kita boleh mengembalikan kegemilangan umat Islam dan menobatkan kembali kekuatan serta kedaulatan Islam bagi kepentingan agama dan negara.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Jumaat, Jun 25, 2010

Solat Sunat Gerhana dan Khutbah Khas

Bersempena dengan berlakunya Gerhana Bulan pada (26/6/2010) Sabtu ini, Masjid As-Salam Puchong Perdana akan mengadakan Solat Sunat Gerhana & Khutbah Khas seperti dibutiran berikut:

Tarikh : 26/6/2010 (Sabtu)
Masa : 7:38 malam (Lepas Solat Maghrib)

Muslimin Muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Khamis, Jun 24, 2010

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN / MATAHARI (KHUSUF)

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Khusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.

Khusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya.

Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Bulan / Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.
Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana).


Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.


Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.


Cara Solat Sunat Gerhana


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah )


Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana bulan / matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana bulan / matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)


Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorangan atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :


Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I'tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Rabu, Jun 23, 2010

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM 2010

Forum Perdana Ehwal Islam
Tarikh: 27 Jun 2010 (Ahad)
Masa : 07:45 mlm ~ 09:45 mlm
Tempat: Masjid As-Salam Puchong Perdana

Tajuk Forum: Meracik Tutur Hina, Merangkai Pantun Iman
(Menangani masalah gejala sosial dan penularan HIV/AIDS)

Ahli Panel: 1. Y. Bhg. Dr Masitah bt Mohamed
Ketua Penolong Pengarah, Unit HIV/STD
Kementerian Kesihatan Malaysia

2. Y. Bhg. Ustaz Faryzan bin Subkhi
Lembaga Zakat Selangor

3. Y. Bhg. Dato' Mohd Yunus Pathi
Presiden Pengasih

Moderator : Tn Hj Yasim Mohamed
Nazir, Masjid As-Salam Puchong Perdana

Semua anak kariah dijemput hadhir

Isnin, Jun 21, 2010

Kejohanan Pingpong & Karom tertutup As Salam 2010

Biro Belia & Rekreasi Masjid As Salam telah menganjurkan kejohanan Pingpong dan Karom Tertutup As Salam pada 5 & 6 Jun 2010 yang lalu. Kejohanan yang julung-julung kalinya di adakan ini telah berjaya menarik kehadiran 47 pemain pingpong dan 13 pemain karom.


Kejohanan selama dua hari ini telah menghimpunkan beberapa bakat yang selama ini tidak dicungkil dan dikumpul untuk membolehkan satu skuad pingpong dan karom diwujudkan. Hasil pertandingan ini, beberapa pemain telah berjaya dikenal pasti dan bakal diketengahkan untuk kejohanan atau permainan persahabatan untuk masa-masa yang akan datang bagi mewakili Masjid As Salam.


Kemeriahan suasana pertandingan dan keakraban sesama anak kariah jelas terpancar sepanjang kejohanan berlangsung. Malah ada yang mengesyorkan agar pertandingan seumpama ini dianjurkan dengan lebih kerap lagi.


Final pertandingan pingpong telah berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid As Salam selepas solat Isya’, 6 Jun 2010. Debaran peserta dan penonton berakhir dengan menyaksikan pelbagai aksi menarik enam orang finalis. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh sudara Zakaria Md. Ali selaku, Pengerusi Biro Ekonomi Masjid.

.

Disediakan oleh
ROSLAN HANAPIAH
BIRO BELIA & REKREASI
MASJID AS SALAM

Jumaat, Jun 18, 2010



Sila klik pada banner untuk paparan yang lebih jelas


Khamis, Jun 17, 2010

Perjumpaan dan Taklimat Khas bersama Nazir Masjid As-Salam

Selasa, 1hb. Jun 9:30mlm bertempat di Dewan Serbaguna Masjid As-Salam Puchong Perdana berlangsung satu Perjumpaan Khas di antara ahli jawatankuasa (ajk) Masjid As-Salam dan AJK baru surau-surau dibawah kariahnya.



Perjumpaan dan Taklimat Khas oleh Nazir Masjid As-Salam Tuan Haji Yasim Mohamed ini adalah bertujuan bagi merangka serta merancang Jalinan Kerja (net-working) diantara kedua-dua pihak.
Antaranya mengenali antara sesama ajk terutamanya ajk Masjid, merancang pelbagai aktiviti di masa hadapan yang membabitkan kedua-dua pihak, berkerjasama didalam apa-apa jua aktiviti serta dapat berkongsi masalah, pendapat dan penyelesaian.

Tuan Nazir turut menerangkan akan “VISI & MISI” serta hala Tuju Masjid As-Salam serta surau-surau dibawah kariahnya secara terperinci dengan harapan agar setiap surau-surau dapat membantu dalam merialisasikan objektif yang murni ini.

Dalam Sesi Taklimat sulung kepada Jawatankuasa baru surau-surau ini, Tuan Nazir turut menjelaskan berhubung kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran yang dihadapi oleh Masjid As-Salam dan Surau-surau dikariahnya khususnya dalam menghadapi cabaran semasa serta mencari penyelesaian diatas meningkatnya kes-kes jenayah sivil dan jenayah syariah di Kawasan Puchong ini.

Jawatankuasa yang baru dipilih hendaklah bersikap perihatin dengan kehendak dan keperluan masyarakat dalam menangani cabaran semasa serta mempergiatkan lagi aktiviti dakwah khususnya yang melibatkan remaja dan belia.
Apa yang penting, kesefahaman dan kerjasama dari kedua-dua pihak ajk (masjid dan surau) adalah dalam keadaan baik dan harmoni.

Tuan Nazir berkesempatan memperkenalkan barisan AJK serta Biro-biro Masjid As-Salam kepada AJK baru surau-surau pada malam itu supaya ianya dapat memudahkan mereka berhubung terus dalam urusan sesuatu perkara.


Kata Tuan Haji Yasim, pihak Masjid sangat terbuka dan sentiasa memikirkan kaedah yang terbaik dalam menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti serta hal-hal berkenaan tentang Masjid As-Salam termasuk maklumat tentang zakat atau apa-apa sahaja arahan atau maklumat yang berkaitan, contoh laman blog Masjid, taqwim program pengajian yang diedarkan ke setiap surau-surau, pengumuman hari jumaat, papan kenyataan di Masjid, banner, dan termasuk surat-surat yang dihantar ke setiap surau.
Jadi, pihak surau, anak kariah atau mana-mana individu yang berkaitan tidak boleh menyalahkan pihak Masjid As-Salam jika sesuatu informasi itu tidak sampai kepadanya.

Kata Haji Yasim lagi, beliau bersedia pada bila-bila masa jika berkelapangan untuk berjumpa dengan ajk surau-surau atau anak kariah bagi membincang dan menyelesaikan sesuatu hal atau masalah.
Perjumpaan yang memakan masa hampir 2 jam itu telah dihadiri seramai 150 orang di mana mereka kesemuanya mewakili 15 buah surau. Walau pun ada diantara surau yang terletak agak jauh seperti surau Al-Mawaddah (Puchong Prima), tetapi atas rasa tanggungjawab serta amanah, mereka tidak menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk tidak menghadiri perjumpaan tersebut.


Di akhir sesi perjumpaan, Tuan Hj Yasim turut mengingatkan semua AJK (Masjid dan Surau) supaya sentiasa ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan amal, khususnya yang melibatkan aktiviti masjid dan surau semoga keikhlasan kita ini mendapat keredhoan Allah s.w.t.

Masjid As-Salam Puchong Perdana:
"Pusat Pengembangan Budaya Toleransi serta Pengembangan Budaya Perdamaian".

Afizan,
Melaporkan untuk Masjid As-salam
Grab this Widget ~ Blogger Accessories