Selasa, Mei 04, 2010

Tarikan Rezeki Jumaat di Masjid As-Salam Puchong Perdana

Waktu menunjukkan jam 9 pagi. Kelihatan seorang lelaki dibantu seorang anak perempuannya sedang sibuk menyediakan beberapa peralatan dan persiapan. Angin pagi yang menghembus membawa aroma rempah dari sup tulang yang sedang disediakan. Itulah Tuan Haji Jamal Bin Mohamad, berusia 61 tahun, seorang peniaga yang sentiasa memeriahkan suasana hari jumaat dengan hidangan sup tulangnya di perkarangan Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Untuk mendapatkan sup yang enak dan isi yang empuk, beliau akan mula memasak seawal jam 8 pagi lagi. Sehinggalah kira-kira dua setengah ke tiga jam, barulah sup tulang Haji Jamal sedia dinikmati oleh penggemar-penggemar sup. Berbekalkan set hidangan berupa sepinggan nasi putih,
semangkuk sup tulang yang berisi, hirisan timun, sambal belacan yang berharga Rm 6 dan minuman sirap percuma, sudah cukup untuk menggamit pengunjung dari pelbagai tempat. Purata setiap kali berniaga boleh menjual 300 mangkuk dan ke atas sehinggakan jam 2.30 petang sahaja beliau sudah boleh mencuci periuk.




Seorang pengunjung setia, Mohd Fauzaan Md Daud, 26 ( gambar ) berkata “sup dia sedap, seminggu sekali kalau tak pekena rasa tak best “.




Berhampiran dengan gerai Haji Jamal pula, seorang peniaga En Azhar, 36 sedang sibuk bersama isterinya melayan
pelanggan-pelanggan yang sedang memilih lauk pauk enak yang ingin dinikmati bersama nasi beriani. Mereka sanggup datang dari Taman Dato’ Harun,Petaling Jaya semata – mata
kerana peluang perniagaan yang telah disediakan oleh Masjid As-Salam. Inilah antara yang membuatkan beliau tertarik untuk berniaga disamping meluaskan perniagaan katering milik beliau dan isteri. Hasilnya beliau telah menerima banyak tempahan makanan untuk pelbagai jenis kenduri kendara.

Menurut beliau, sepatutnya masjid-masjid lain mencontohi Masjid As-Salam mengadakan gerai jualan kerana memudahkan orang ramai yang berkerja menikmati hidangan tengahari dengan mudah. Disamping itu juga, beliau menyarankan agar Biro Belia Masjid dapat bergerak aktif bagi menarik minat golongan remaja dan belia datang ke masjid contohnya mengadakan perlawanan futsal di masjid.

Kemudian, kelihatan kelibat seorang wanita yang bernama Puan Sabariah Binti Yusof, berusia 38 tahun yang tinggal di Gombak sedang menyusun barangan – barangan kulit. Jumaat kali ini beliau berniaga berseorangan tanpa ditemani anak yang sedang bersekolah. Beliau mendapatkan bekalan barangan kulit tersebut dari Chow Kit yang berupa tali pinggang, dompet dan beg tangan kulit. Beliau mengharapkan gerai jualan jumaat akan tetap diteruskan disebabkan peluang perniagaan yang telah tersedia seterusnya sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarganya yang bergantung dengan hasil perniagaan beliau.
Selesai menemuramah sedikit sebanyak, teringin pula menghilangkan kehausan di waktu kepanasan matahari yang semakin memuncak. Dari jauh kelihatan menu minuman unik yang amat menarik perhatian orang ramai. Antaranya cendol, nangka, kedondong, karot susu dan katira. Keramahan peniaga tersebut membuatkan ramai pelanggan yang datang ingin menghilangkan dahaga sehingga tidak menang tangan. Itulah En Zulkarnain Mohd Nor berusia 35 tahun yang berasal dari Kg Sri Aman. Bercerita sedikit sebanyak minat beliau berniaga adalah disebabkan pengalaman kesusahan hidup “senang cerita, sampaikan nak beli kopi kapal api pun takde duit bang”ujar beliau. Bertitik tolak dari pengalaman tersebut, beliau mencari idea untuk meningkatkan kekuatan ekonomi sendiri. Hasilnya kini beliau sudah boleh tersenyum dan berjaya meringankan
bebanan hidup. Seorang peminat setia minuman beliau, En Azhar menyatakan sebab beliau sangat meminati air minuman En Zul ialah kerana daya penarik warna air minuman dan menu En Zul sedang melayan pelanggan
yang sentiasa berubah-ubah. Beliau mencadangan supaya pihak Masjid dapat menyusun atur kembali no tapak gerai dan mengasingkan mengikut kategori perniagaan. Beliau juga memuji Masjid As-Salam kerana sentiasa padat dengan program yang bermanfaat akan tetapi perlu ditambah kelas pengajian Al-Quran untuk golongan dewasa.
Laporan: Ahmad Shahir b. Masdan

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories