Khamis, Mei 06, 2010

RAIKAN IBU, hargai kasih sayangnya

HARI Ibu, jatuh pada 9 Mei setiap tahun. Sama ada kita memanggilnya ibu, emak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama saja. Ia adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu hujung minggu ini amat memberi makna yang besar kepada semua ibu di negara ini.


Hari Ibu bermakna semua pihak menghargai jasa seorang ibu. Berkat kesabaran dan dedikasi seorang ibu yang akhirnya melahirkan manusia yang berpengaruh besar dalam dunia persuratan, keilmuan, sains, teknologi, kepemimpinan dan dihormati bukan saja di negara ini tetapi juga di negara lain di seluruh dunia.


Hari Ibu yang istimewa ini sepatutnya diraikan bersama oleh anak dan suami(bagi yang masih bersuami) sebagai tanda penghargaan ke atas kasih sayang yang dicurahkan oleh wanita dalam membina kerukunan sesebuah rumah tangga serta pengorbanannya melahirkan zuriat bagi menyambung warisan keluarga.


Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada ibu yang dikasihi.


Justeru, pada kesempatan sambutan Hari Ibu yang diraikan diseluruh dunia, anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.
Tidak bermakna anda mesti memberinya hadiah yang mahal dan lumayan, tetapi adakalanya hadiah kecil menjadi sesuatu yang sangat bermakna kepada ibu anda.


Berikan ibu anda hadiah mengikut kemampuan kewangan anda kerana apa yang lebih penting bagi ibu ialah ingatan insan yang disayangi di sekelilingnya.


Bagi yang berkemampuan bolehlah membawa ibu anda menikmati hidangan istimewa di restoran terpilih, ataupun menghadiahkan ibu anda pakej umrah dan bercuti. Ada juga yang menghadiahkan set telekung baru yang bersulam cantik, tas tangan, dompet, buku ataupun novel yang digemarinya.
Mungkin juga sebagai ahli keluarga, anda berusaha melaksanakan hajatnya iaitu mempertemukan ibu anda dengan seseorang yang sudah lama ingin ditemui pada Hari Ibu itu nanti. Ia juga menjadi hadiah yang sangat bermakna kepada ibu anda sekiranya anda berjaya melakukannya.

Mungkin juga anda boleh menyambungkan semula silaturrahim yang sekian lama terputus dengan mengadakan jejak kasih dengan insan yang pernah singgah dihatinya suatu ketika dulu.
Kita sudah diajar dalam apa juga keadaan hendaklah mendahulukan hajat si ibu berbanding bapa kerana Islam amat menghargai peranan dan jasa seorang ibu.

Jadi kepada mereka yang bergelar anak di luar sana, hargailah ibu anda setiap detik dan ketika dan janganlah sekali-kali melukai hatinya.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories