Sabtu, Mei 29, 2010

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 28.05.2010

Memilih pasangan hidup yang beragama.

Perkahwinan adalah jalan kebahagiaan yang telah disyariatkan oleh Allah swt bagi memberi jalan kebaikan kepada umat manusia agar sentiasa hidup dalam ketenangan.


Perkahwinan bukan saja dikira sebagai ibadah bahkan sebenarnya ia juga bagi memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasang-pasangan.


Ianya juga adalah cara bagaimana Allah mengangkat martabat manusia itu berbeza dari makhluk-makhluk-Nya yang lain. Perkahwinan yang dibina oleh dua insan yang berbeza dari segi fizikal, mental dan latar belakang kehidupan akan menjadi pasangan yang serasi, penuh kasih saying dan lebih penting ialah ia akan diberi ketenangan dalam kehidupan.

Ketenangan itu pula nanti akan menambah lagi keimanan kerana dengan syariat perkahwinan ini akhirnya kita akan menjadi makhluk yang berfikir betapa besar dan agungnya Tuhan yang Maha Esa.

Perkahwinan adalah ketenangan, cinta-mencintai dan belas kasihan. Namun begitu yang mendukacitakan kita ialah apa yang dinyatakan dalam firman Allah itu seolah-olah tidak dihayati oleh masyarakat masa kini.

Apa yang terpapar dalam media ialah perkahwinan atau rumahtangga yang dibina telah dijadikan medan persengketaan yang terjadi antara suami dan isteri. Kes-kes yang melibatkan konflik rumahtangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan). Lebih dahsyat lagi apabila konflik tersebut berakhir dengan pembunuhan yang memberi gambaran buruk dan tragis dalam sesebuah perkahwinan.

Menurut rekod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jumlah aduan rumahtangga sepanjang tahun 2000 hingga 2008 ialah berjumlah 81,115 kes iaitu jumlah yang dilihat sangat tinggi, dengan purata sehari 24 aduan kes. Malah dalam tempoh yang sama pasangan yang telah bercerai direkodkan berjumlah 26,421 pasangan dengan purata 8 kes perceraian sehari.

Gambaran dari fakta ini jelas membuktikan bahawa betapa rapuhnya Institusi Perkahwinan Umat Islam pada masa kini. Dilihat dari rekod ini timbullah pelbagai persoalan, di manakah sebenar kebahagiaan dalam sebuah kehidupan perkahwinan.

Di antara sebab berlakunya masalah rumahtangga ini ialah kesilapan pasangan dalam memilih jodoh. Ini kerana pemilihan jodoh tidak berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Rasullullah saw. Hadith: “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat”.

Hadith tersebut di atas jelas menunjukkan betapa anjuran Islam sangat mementingkan pemilihan jodoh bukan sekadar memandang harta kekayaan, bukan sekadar mengambil kira keturunan yang mulia dan bukan juga sekadar melihat paras rupa yang cantik, tetapi sebenarnya pilihlah yang beragama.

Ini kerana kita semua maklum bahawa harta, keturunan dan paras rupa hanya bersifat sementara tetapi agamalah yang kekal abadi. Agama akan membentuk akidah. Agama melatih melalui ibadah dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia.

Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabung jalin inilah yang akan membentuk tanggungjawab yang istiqomah. Maka apabila firman Allah diimani dan dihayati, apa yang akan dilihat nanti ialah suami isteri itu sentiasa bekerjasama dalam kehidupan serta saling memerlukan.

Antara lain perkara yang perlu kita ambil perhatian penting ialah perlunya setiap ahli keluarga khususnya pihak wali perkahwinan memastikan agar jodoh yang dipilih oleh anak-anak yang ingin mendirikan rumahtangga mempunyai ilmu fardhu ain, pengetahuan agama yang cukup dan perlu bertanya tentang amal ibadatnya. Ini kerana jika gagal melunaskan tuntutan kewajipan fardhu ain ini, suami pasti gagal sebagai suami yang soleh dn isteri bakal gagal sebagai isteri yang solehah.

Perlu juga disedari bahawa tujuan perkahwinan juga adalah untuk merapatkan ukhuwwah. Ukhuwwah adalah perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Sebab itu kerana ukhuwwah umat Islam pada satu ketika dahulu berjaya dalam segenap misi dakwahnya. Malah perkahwinan juga antara cara dakwah yang telah digunakan oleh para pendakwah. Tidak mungkin cara ini boleh berjaya jika perkahwinan yang dibina tidak bahagia.

Kegagalan perkahwinan boleh membawa kegoncangan ukhuwwah di kalangan kita kerana konflik rumahtangga biasanya membawa luka dan perasaan tidak selesa di kalangan pasangan. Rumah tangga itu umpama bangunan dan bangunan yang kukuh adalah kerana ikatan konkritnya.

Konkrit yang dimaksudkan ialah ukhuwwah. Ukhuwwah yang paling baik antaranya ialah melalui jalan perkahwinan. Janganlah nanti masalah rumahtangga menjadi seperti anai-anai yang akan meruntuhkan bangunannya.
Menjadi kewajipan kepada kita semua membina keluarga bahagia. Keluarga bahagia bermakna keluarga yang beragama. Keluarga yang bahagia juga ialah gambaran sebenar ajaran Islam yang menyusun cara atau sistem dalam mengurus kehidupan.

Oleh yang demikian, marilah kita menjadikan agama sebagai asas dalam membuat pertimbangan untuk memilih jodoh.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories