Sabtu, Mei 29, 2010

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 28.05.2010

Memilih pasangan hidup yang beragama.

Perkahwinan adalah jalan kebahagiaan yang telah disyariatkan oleh Allah swt bagi memberi jalan kebaikan kepada umat manusia agar sentiasa hidup dalam ketenangan.


Perkahwinan bukan saja dikira sebagai ibadah bahkan sebenarnya ia juga bagi memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasang-pasangan.


Ianya juga adalah cara bagaimana Allah mengangkat martabat manusia itu berbeza dari makhluk-makhluk-Nya yang lain. Perkahwinan yang dibina oleh dua insan yang berbeza dari segi fizikal, mental dan latar belakang kehidupan akan menjadi pasangan yang serasi, penuh kasih saying dan lebih penting ialah ia akan diberi ketenangan dalam kehidupan.

Ketenangan itu pula nanti akan menambah lagi keimanan kerana dengan syariat perkahwinan ini akhirnya kita akan menjadi makhluk yang berfikir betapa besar dan agungnya Tuhan yang Maha Esa.

Perkahwinan adalah ketenangan, cinta-mencintai dan belas kasihan. Namun begitu yang mendukacitakan kita ialah apa yang dinyatakan dalam firman Allah itu seolah-olah tidak dihayati oleh masyarakat masa kini.

Apa yang terpapar dalam media ialah perkahwinan atau rumahtangga yang dibina telah dijadikan medan persengketaan yang terjadi antara suami dan isteri. Kes-kes yang melibatkan konflik rumahtangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan). Lebih dahsyat lagi apabila konflik tersebut berakhir dengan pembunuhan yang memberi gambaran buruk dan tragis dalam sesebuah perkahwinan.

Menurut rekod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jumlah aduan rumahtangga sepanjang tahun 2000 hingga 2008 ialah berjumlah 81,115 kes iaitu jumlah yang dilihat sangat tinggi, dengan purata sehari 24 aduan kes. Malah dalam tempoh yang sama pasangan yang telah bercerai direkodkan berjumlah 26,421 pasangan dengan purata 8 kes perceraian sehari.

Gambaran dari fakta ini jelas membuktikan bahawa betapa rapuhnya Institusi Perkahwinan Umat Islam pada masa kini. Dilihat dari rekod ini timbullah pelbagai persoalan, di manakah sebenar kebahagiaan dalam sebuah kehidupan perkahwinan.

Di antara sebab berlakunya masalah rumahtangga ini ialah kesilapan pasangan dalam memilih jodoh. Ini kerana pemilihan jodoh tidak berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Rasullullah saw. Hadith: “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat”.

Hadith tersebut di atas jelas menunjukkan betapa anjuran Islam sangat mementingkan pemilihan jodoh bukan sekadar memandang harta kekayaan, bukan sekadar mengambil kira keturunan yang mulia dan bukan juga sekadar melihat paras rupa yang cantik, tetapi sebenarnya pilihlah yang beragama.

Ini kerana kita semua maklum bahawa harta, keturunan dan paras rupa hanya bersifat sementara tetapi agamalah yang kekal abadi. Agama akan membentuk akidah. Agama melatih melalui ibadah dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia.

Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabung jalin inilah yang akan membentuk tanggungjawab yang istiqomah. Maka apabila firman Allah diimani dan dihayati, apa yang akan dilihat nanti ialah suami isteri itu sentiasa bekerjasama dalam kehidupan serta saling memerlukan.

Antara lain perkara yang perlu kita ambil perhatian penting ialah perlunya setiap ahli keluarga khususnya pihak wali perkahwinan memastikan agar jodoh yang dipilih oleh anak-anak yang ingin mendirikan rumahtangga mempunyai ilmu fardhu ain, pengetahuan agama yang cukup dan perlu bertanya tentang amal ibadatnya. Ini kerana jika gagal melunaskan tuntutan kewajipan fardhu ain ini, suami pasti gagal sebagai suami yang soleh dn isteri bakal gagal sebagai isteri yang solehah.

Perlu juga disedari bahawa tujuan perkahwinan juga adalah untuk merapatkan ukhuwwah. Ukhuwwah adalah perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Sebab itu kerana ukhuwwah umat Islam pada satu ketika dahulu berjaya dalam segenap misi dakwahnya. Malah perkahwinan juga antara cara dakwah yang telah digunakan oleh para pendakwah. Tidak mungkin cara ini boleh berjaya jika perkahwinan yang dibina tidak bahagia.

Kegagalan perkahwinan boleh membawa kegoncangan ukhuwwah di kalangan kita kerana konflik rumahtangga biasanya membawa luka dan perasaan tidak selesa di kalangan pasangan. Rumah tangga itu umpama bangunan dan bangunan yang kukuh adalah kerana ikatan konkritnya.

Konkrit yang dimaksudkan ialah ukhuwwah. Ukhuwwah yang paling baik antaranya ialah melalui jalan perkahwinan. Janganlah nanti masalah rumahtangga menjadi seperti anai-anai yang akan meruntuhkan bangunannya.
Menjadi kewajipan kepada kita semua membina keluarga bahagia. Keluarga bahagia bermakna keluarga yang beragama. Keluarga yang bahagia juga ialah gambaran sebenar ajaran Islam yang menyusun cara atau sistem dalam mengurus kehidupan.

Oleh yang demikian, marilah kita menjadikan agama sebagai asas dalam membuat pertimbangan untuk memilih jodoh.

Rabu, Mei 19, 2010

Lawatan Biro Dakwah ke Surau An-Najatul Hasanah Puchong Permai

Pada 11/5 yang lalu selepas solat maghrib Biro Dakwah Masjid As-Salam yang diketuai Pengerusinya Tuan Haji Sabri bersama 2 orang ahli jawatankuasanya telah turun membuat lawatan ke Surau Anajatul Hasanah Puchong Permai.

Lawatan tersebut disambut oleh Pengerusi lamanya iaitu Encik Nazar bersama 6 orang jemaahnya. Inilah adalah salah satu tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Biro Dakwah agar sentiasa mengadakan hubungan baik 2 hala iaitu di antara Masjid As-Salam dengan surau-surau di bawah kariah masjid.

Didalam pertemuan tersebut Tuan Haji Sabri turut membincangkan tentang agenda serta hasrat Tuan Nazir Masjid As-Salam agar seluruh surau dibawah Masjid As-Salam dapat bersama-sama berganding bahu bagi menjalankan apa jua aktiviti di samping saling bantu membantu dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh seluruh anak kariah disekitar Puchong.

Ianya sedikit sebanyak telah mencapai sasaran MISI dan VISI Masjid As-Salam agar hubungan baik antara surau dan Masjid akan sentiasa terjalin.

Pada sesi lawatan itu, Biro Dakwah juga mewakili pihak Masjid turut menyampaikan sedikit sumbangan wang ringgit dalam membantu menambah dana surau.

Semoga dengan lawatan seumpama ini, seluruh ahli jawatankuasa surau-surau di bawah Masjid As-Salam akan tahu bahawa mereka ini tidak akan bergerak sendirian dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Malah pihak Masjid akan sentiasa ada bersama-sama membantu mengurus tadbir setiap surau-surau dibawahnya.

Afizan,
laporan untuk Biro Dakwah Masjid As-Salam

Marilah kita sama-sama membantu ekonomi Masjid Kita

Biro Ekonomi (B.E) Masjid As-Salam yang diketuai oleh Encik Zakaria b. Muhd Ali adalah diantara biro yang boleh dikatakan paling aktif bergerak dalam menjalankan aktivitinya bagi membantu menjana menambah pendapatan Masjid As-Salam.

Tidak mengenal erti putus asa walau telah menghadapi berbagai dugaan dan cabaran, tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat. Semua permasalahan dapat diatasi dengan tabah. Pernah mengalami kerugian mencecah hampir RM4500.00 akibat dari kes kecurian yang berlaku baru-baru ini.

Dan dengan berkat Allah S.W.T masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah dengan tertangkapnya pencuri tersebut, ini adalah kerana berkat hasil kerjasama sesama ahli yang berusaha menangani masalah itu. Dengan kekuatan ahli seramai 22 orang, berbagai idea dan pendapat telah dikongsi bersama bagi melancarkan segala aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Inilah konsep yang diamalkan oleh ketua Biro Ekonomi, sentiasa mendengar pendapat ahli-ahlinya. Dengan mengadakan mesyuarat setiap 2 minggu. Apa yang membanggakan, sebelum ini Biro Ekonomi hanya memulakan perniagaan makanan sunnahnya dengan bermodalkan RM2500.00 dimana wang tersebut hasil dari sumbangan pihak Masjid, dan tidak sampai 3 bulan modal itu dapat dikembalikan, malahan Biro Ekonomi kini telah maju selangkah demi selangkah kehadapan, ini terbukti apabila 2 syarikat iaitu syarikat pembekal barang makanan dan pakaian telah sudi dan yakin untuk memberi suntingan modal bagi B.E menjalankan aktiviti perniagaannya.

Tambahan pula kini B.E telah mempunyai “car wash”nya (di buka setiap hari dari jam 0900-2100) sendiri yang terletak didalam perkarangan pakir Masjid. En Radhi, En Husin Hasran dan juga En Ery Sudirman disamping ahli-ahli yang lain adalah diantara orang yang paling banyak membantu memajukan B.E dengan idea-idea, masa, tenaga serta adakalanya mereka ini telah sanggup mengeluarkan modal duit poket sendiri bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang B.E dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa mengenal erti penat dan jemu.

B.E juga telah merangka berbagai-bagai rancangan di masa hadapan dari pelbagai sudut perniagaan, antaranya menjual buah kurma pada bulan ramadhan pada tahun ini dengan kerjasama sebuah syarikat pembekal makanan islam yang terletak di Serdang, menyewakan ruang bagi mengadakan kenduri kahwin di perkarangan masjid (dengan bersyarat), menyewakan bilik kuliah dan lain-lain lagi.

B.E ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh anak kariah kerana sudi membantu B.E dalam menjayakan segala aktiviti yang dijalankan, tidak kira dari segi aspek apa sekali pun.

Harapan kami, agar seluruh masyarakat khususnya masyarakat islam di sekitar Puchong ini seiring bersama B.E dapat membantu menjana ekonomi Masjid As-Salam.

Bagi sesiapa yang sudi mendermakan pakaian, barangan eletrik terpakai atau sudi bekerjasama dengan B.E dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan, boleh datang terus ke Masjid As-Salam atau hubungi:

En. Zakaria 012-3412486
En. Radhi 012-9150831
En Husin Hasran 019-2990600
En. Ery 016-3206089
En. Osman 017-6581486
En Anas 019-6671644
Pn Azizah 019-2450369
En Shah 019-2540641

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Pepatah melayu mengatakan “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Itulah ungkapan yang saya rasa sesuai digunakan untuk individu yang selama ini melakukan kegiatan mencuri di Masjid As-Salam.

Boleh dikatakan kes kecurian yang berlaku terlalu kerap hingga menyebabkan ahli jawatankuasa(AJK) masjid adakalanya rasa tertekan dengan aduan-aduan yang diterima dari para jemaah, kebanyakan terdiri samada dari masyarakat setempat atau pengunjung yang selalunya datang singgah untuk menunaikan solat.
Antara kes kecurian yang dilaporkan adalah kehilangan motorsikal, telefon bimbit, dompet, beg tangan wanita, pecah kereta, cubaan melarikan tabung masjid dan lain-lain lagi.

Dan kes terbaru membabitkan barang-barang Biro Ekonomi masjid yang terletak didalam stor turut menjadi mangsa pihak individu ini, dianggarkan Rm 4500.00 kerugian terpaksa ditanggung oleh Biro Ekonomi.

Kehilangan barang tersebut mula disedari oleh En Radhi (ajk biro ekonomi) selepas solat jumaat 30/4 lalu, dimana beliau ingin memeriksa stok barang yang tinggal, kemudian saya bersama En Husin (ajk biro ekonomi) telah dimaklumkan oleh En Radhi akan kehilangan barang-barang tersebut. Dan apa yang menjadi tanda tanya kami, “bagaimana si pencuri ini boleh pecah masuk tanpa meninggalkan kesan”?

Pintu dan solex pada grill kelihatan baik seperti tidak diumpil. Kemudian saya bersama beberapa orang ajk masuk ke dalam stor untuk melihat keadaan sekeliling mana tahu kalau-kalau terjumpa jejak atau kesan si pencuri, selepas 10 minit mencari akhirnya salah seorang dari kami iaitu Hj Suhaimi mendapati ada sebuah tingkap yang menghubungkan antara stor dengan bilik AHU, untuk makluman stor ini baru siap dibina pada pertengahan bulan april, dan mula digunakan oleh Biro Ekonomi pada hujung bulan april.

Maka selok belok keadaan di dalam stor masih belum diketahui sepenuhnya. Kami sepakat agar perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi, bermula jam 1000 malam saya bersama En Husin Hasran, En Radhi dan Hj Azmi memulakan langkah pertama siasatan sendiri, boleh dikatakan ramai juga pada asalnya yang menjadi subjek suspek (orang yang disyakki) kami.

Diringi doa serta dipermudahkan jalan oleh Allah, akhirnya kami menemui satu pentunjuk yang boleh dikatakan 80% ianya adalah pencuri sebenar yang selama ini mungkin salah seorang yang menjalankan kegiatan mencuri di Masjid.

Puncanya apabila kami berkunjung ke rumah Hj Hamdan (siak Masjid), beliau menyatakan sering melihat kelibat seorang lelaki berpakai seolah-olah anggota jamaah tabligh yang kononnya berada di Masjid kerana musafir.

Kata Hj Hamdan lagi, beliau juga selalu nampak si suspek ini masuk ke dalam bilik AHU tersebut. Dakwaan tersebut dikuatkan lagi apabila pada jam 0100 pagi kami pergi pula menemui Jaga Masjid, di perkarangan Masjid As-Salam iaitu En Zamri, kebetulan ketua Biro Nahi Mungkar En Masri pun ada sama yang datang melawat anak-anak buahnya yang sedang “stand-by” kalau-kalau ada kes maksiat yang dilaporkan.

Kami dimaklumkan oleh En Zamri, pada 29/4 jam 0200 pagi, beliau ternampak kelibat si suspek berkeliaran di dalam perkarangan masjid, bila ditanya jawapannya ialah “saya hendak tumpang tidur kerana sedang musafir”.

Apa yang peliknya, si suspek ini sering memilih Masjid As-Salam sebagai transitnya untuk bermusafir. Dalam kami sibuk mendapatkan maklumat dari En Zamri, En Masri juga turut mencelah, katanya si suspek ini memang cukup dikenali oleh sesetengah jemaah di Puchong dengan sifat-sifat negatif yang tak sedap didengar.

Dan pernah juga salah seorang jemaah di Masjid memberitahu kepada En Husin supaya pihak Masjid perlu berhati-hati dengan si suspek ini, kerana beliau pernah mencuri barang-barang kerja binaan salah seorang majikannya dulu.

Perkara yang sama turut diluahkan oleh En Masri. Akhirnya En Masri menasihati kami segera membuat laporan polis dibalai polis Bukit Puchong. Dalam masa yang sama anggota Nahi Mungkar dan juga anggota keselamatan JKP Zon 13 yang berada di Masjid malam itu pula diarahkan oleh En Masri supaya membuat rondaan kalau-kalau ternampak kelibat si suspek di sekitar kawasan Puchong.

Kami ke Balai Polis membuat laporan pada jam 0215 pagi. Dan En Radhi yang menjadi pelapor disoal siasat hingga jam 0300 pagi. Dan Pegawai Penyiasat bersama 2 anggotanya turun melawat stor tempat kejadian.

Nasihat Pegawai tersebut agar kami dapat memberi kerjasama pada pihak Polis dengan memaklumkan segera jika ternampak si suspek. Kami pulang ke rumah masing-masing pada jam 0400 pagi.

Keesokan harinya , dengan pertolongan Allah, pada jam 0230 petang, saya dipanggil oleh En Shah di rumah(salah seorang sukarelawan Masjid) beliau ternampak kelibat si suspek berkeliaran di sekitar bawah Masjid, kemudian saya bersama beberapa orang yang kebetulan berada di Masjid ketika itu cuba memerhatikan gerak geri si suspek dari jauh.

Saya di minta oleh Wak Shamsul (pekerja am Masjid) agar cuba menyorok di dalam stor menyimpan barang-barang pekerja am Masjid di mana ianya boleh melihat ke arah bilik AHU dari jauh. 15 minit kemudian kelihatan si suspek keluar dari bilik AHU bersama beg di tangannya.

Hati saya terdetik mengatakan “sah dia dah curi lagi barang dalam stor Biro Ekonomi ni!”. Tanpa membuang masa saya keluar dan terus memanggil beberapa orang rakan tadi supaya perhatikan si suspek kalau-kalau dia cuba hendak balik sementara menunggu pihak Polis sampai.

Sepuluh minit kemudian 2 orang anggota Polis pun tiba dan saya dikehendaki mengiringi polis untuk berjumpa si suspek. Si suspek yang pada awalnya tidak menjangka ketibaan 2 anggota Polis itu hendak menahannya, bila ditanya oleh anggota Polis tersebut, “ En dari mana? saya dari Masjid Sri Petaling, sambil mengaku beliau adalah anggota jemaah tabligh”.

Kami semua tidak percaya, kata salah seorang anggota Polis tadi, “Encik, kami terpaksa tahan kerana atas kesalahan mencuri di dalam bangunan” dan ada laporan ke atas Encik”.

Saya terus bertanya pada si suspek, “ mana beg hijau yang kau bawa keluar dari bilik AHU tadi”? tanpa membuang masa si suspek terus membawa kami ketempat beliau menyorokkannya.

Alangkah terperanjatnya kami apabila dibuka beg tersebut, kelihatan penuh barang-barang Biro Ekonomi di dalamnya. Dan ini adalah kali ke berapa dia dah curi pun kami tak tahu, sebabnya si suspek seprti tidak takut datang untuk mencuri lagi.

Mungkin selama ini kegiatannya kami pihak Masjid As-Salam banyak berdiam diri. Tapi seperti pepatah melayu ada mengatakan “ sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua”.

Sehigga kini saya dimaklumkan oleh rakan beliau yang juga turut tertipu dengan penyamaran si suspek sebagai anggota jemaah tabligh, telah memberi si suspek meminjam motorsikal beliau ketika si suspek hendak pergi ke Puchong untuk mengambil stok susu kambing “Hi-Goat” yang dijual dengan harga yang begitu murah.

Rupa-rupanya si suspek ini mencuri susu tersebut dari Masjid As-Salam. Beliau juga memaklumkan menghadapi kesukaran apabila hendak menuntut semula motorsikal kepunyaannya di balai Polis kerana motorsikal itu digunakan bagi tujuan mencuri.

Apa yang kami kesalkan, si suspek ini seperti tidak takut dengan hukum Allah kerana berani mencuri di dalam kawasan Masjid, dan sanggup menyamar sebagai seolah-olah anggota jemaah tabligh supaya kegiatannya tidak dapat dikesan.

Ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik golongan tabligh. Dan kita semua ketahui bahawa golongan tabligh ini banyak melakukan amalan mulia yang mungkin sukar hendak dilakukan oleh sesetengah individu yang lain dalam menyebarkan syiar islam ke serata dunia.

Dengan tegas saya mengatakan bahawa si suspek ini bukanlah ahli tabligh yang sebenar, beliau hanya menyamar untuk mengambil kesempatan, dan mungkin si suspek ini bergerak secara bersendirian. Tidak seperti mana ahli-ahli tabligh yang lain bergerak secara berkumpulan.

AFIZAN.

MELAPORKAN KES KECURIAN UNTUK BIRO EKONOMI MASJID AS-SALAM

Jumaat, Mei 14, 2010

Kisah Arnab dan Kura-kura (Versi Baru): Pentingnya bekerja dalam satu pasukan

Suatu masa dahulu, Sang Arnab dan Sang Kura-kura saling mencabar satu sama lain tentang siapa yang terpantas dan akhirnya mereka bersetuju untuk mengadakan perlumbaan. Perlumbaan ini akan menentukan siapa lebih pantas. Sesiapa yang sampai lebih awal di garisan penamat yang dipersetujui dikira sebagai pemenang.

Perlumbaan pun bermula. Sang Arnab memecut pantas. Di separuh jalan, dia memandang ke belakang dan melihat Sang Kura-kura masih jauh. Jadi Sang Arnab pun berehat dibawah pokok dan tertidur.


Sang Kura-kura secara perlahan dan konsisten memotong Sang Arnab dan muncul sebagai juara perlumbaan tersebut. Sang Arnab terjaga dan menyesali apa yang terjadi.


Pengajaran : Perlahan-lahan dan konsisten membawa kejayaan.

(Biasanya cerita ini akan berakhir disini, tetapi kali ini cerita ini bersambung...)

Sang Arnab kecewa dengan kekalahan ini. Sang Arnab membuat kajian untuk mengkaji sebab-sebab kekalahannya kepada Sang Kura-kura. Sang Arnab mendapat jawapan bahawa dirinya terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa.

Jika dia menyelesaikan ketiga-tiga masalah tadi, adalah mustahil dia akan kalah. Jadi Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura untuk mengadakan perlawanan kedua. Sang Kura-kura bersetuju.

Kali ini Sang Arnab memecut dari garisan permulaan sehingga garisan penamat. Dia memenangi pertandingan dengan meninggalkan Sang Kura-kura jauh ketinggalan di belakang.

Pengajaran : Pantas dan konsisten dapat menewaskan perlahan-lahan dan konsisten.

Jika dalam syarikat anda, terdapat seorang pekerja yang lambat dan konsisten dan seorang lagi pantas dan konsisten. Sudah tentu, individu yang pantas dan konsisten akan menjadi pilihan kita.

Lambat dan konsisten adalah baik tetapi pantas dan konsisten adalah lebih baik.

Cerita ini bersambung lagi.

Kali ini Sang kura-kura pula memikirkan strategi untuk menang. Sang Kura-kura menyedari bahawa jika format pertandingan seperti sedia ada, adalah mustahil bagi Sang Kura-kura untuk menang. Strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan.

Setelah berfikir panjang. Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk perlumbaan ketiga. Kali ini dengan laluan yang dikemukakan oleh Sang Kura-kura adalah sedikit berbeza dari laluan asal. Sang Arnab bersetuju.
Perlumbaan dimulakan. Berbekalkan komitmen yang ada, Sang Arnab memecut pantas dan terhenti di sebuah sungai yang besar. Garisan penamat adalah beberapa kilometer diseberang dari sungai ini. Sang Arnab tidak tahu berenang.

Sang Arnab berhenti di tebing sungai dan memikirkan tentang apa yang patut dilakukan sekarang. Pada masa yang sama pula, Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan, setibanya di sungai, dia berenang ke seberang dan kemudiannya berjalan semula sehingga tiba di garisan penamat. Sang Kura-kura menang.

Pengajaran : Kenalpasti kelebihan diri anda, cebur dalam bidang yang anda mempunyai kelebihan.

Jika anda tidak mahir dan tidak berminat dalam bidang membuat kiraan stok. Tinggalkan bidang itu dan cari orang yang mahir dalam bidang tersebut. Jika anda minat dalam bidang pemasaran. Cebur bidang tersebut dengan sepenuh hati. Tetapkan laluan perlumbaan anda berdasarkan kelebihan dan minat yang anda miliki.

Kisah ini belum berakhir....

Setelah 3 kali perlumbaan. Sang Arnab dan Sang Kura-kura telah menjadi rakan karib. Mereka berbincang bersama. Mereka mendapat idea baru tentang cara meningkatkan kepantasan perlumbaan mereka.

Mereka bersetuju untuk berlumba, tetapi bukan sebagai pesaing tetapi sebagai satu pasukan.

Perlumbaan dimulakan.

Sang Arnab mendukung Sang Kura-kura dibelakangnya dan memecut pantas sehingga ke sungai yang besar. Setibanya di sungai, Sang Arnab pula berada di atas Sang Kura-kura yang sedang berenang. Setibanya di seberang sungai, mereka bertukar posisi sekali lagi dan sampai ke garisan penamat dengan jayanya.

Mereka merasa lebih puas dan berjaya berbanding apa yang mereka telah lalui sebelum ini.

Pengajaran : Walau sehebat mana pun seseorang individu, pasti terdapat bidang yang individu ini lemah dan orang lain lebih baik berbandingnya. Oleh yang demikian, adalah bagus kita bekerja dalam satu kumpulan dengan menggunakan kelebihan yang ada pada setiap orang.

(Diterjemah dari email yang dihantar kepada saya oleh rakan sekelas saya Harris Abdullah)

Terima kasih

Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur

Khamis, Mei 13, 2010

2 perkara yang Anda perlu ubah untuk mencapai kejayaan


1. Mengubah diri menjadi orang yang bersikap baik sepenuhnya.

Kita tak akan dapat mengecapi kejayaan jika kita kekal dengan sikap sekarang ini. Kita kena ubah kepada sikap yang lebih baik supaya kita dapat mencapai tahap pencapaian yang lebih baik lantas membuat kita muncul lebih cemerlang dari orang-orang di sekeliling kita. Sikap yang baik, mendorong kita mengambil tindakan yang baik, hasilnya kita beroleh pencapaian yang baik-baik.

Mulai hari ini, ubah diri kita. Perbaiki sikap, cara bercakap, cara bergaul, cara kita memandang orang lain dan ubah persepi kita terhadap kehidupan. Hidup ini tidak kejam sebenarnya, tapi kita yang kejam pada diri sendiri sebab kita tak mengubah perangai kita dan tindakan kita menjadi perangai baik dan tindakan yang baik untuk kita mendapat hasil yang baik.

Sama-samalah kita ingat mengingati. Ubah diri menjadi seseorang yang baik, supaya kita dapat mencapai kejayaan, seperti yang kita idamkan. Baik kepada orang lain, baik kepada diri sendiri.

2. Berbakti kepada orang lain.

Sebuah perniagaan, sama ada yang menjual barangan ataupun yang menawarkan perkhidmatan, jika dikaji sebenarnya merupakan bakti kepada masyarakat. Untuk sesebuah perniagaan tu muncul jadi perniagaan berjaya, kena terlebih dahulu menaburkan bakti, memberi produk berkualiti serta perkhidmatan yang memuaskan hati.

Selepas tu barulah ramai orang akan membeli produk yang ditawarkannya, menggunakan perkhidmatan yang diberikan olehnya. Sama juga dengan diri kita. Untuk kita berjaya dalam pelajaran, kekeluargaan, kerjaya, perniagaan dan kewangan, kita kena berbakti dulu kepada orang lain. Dalam proses berusaha mencapai kejayaan, kita tak akan dapat menolak dari tidak melibatkan orang lain dalam hidup kita.

Kita memerlukan orang lain untuk kita menimba ilmu daripada mereka kemudian kita akan perlukan seseorang yang lain untuk kita curahkan ilmu yang kita ada supaya kita dapat menimba lebih banyak ilmu, dua kali ganda banyaknya dari jumlah sebelum tu.

Tadi kita kena ubah diri menjadi diri kita yang baru, dengan sikap baru, mindset baru, akhlak baru yang lebih baik. Sekarang, kita kena menabur bakti dengann bersikap baik. Apa yang kita berikan pada orang lain, kita akan dapat balik satu hari nanti dengan jumlah ‘double‘.

Mengaku kesalahan adalah keberanian dan
berubah untuk membuat perubahan adalah kejayaan.

Norakmal Jasni

Khamis, Mei 06, 2010

RAIKAN IBU, hargai kasih sayangnya

HARI Ibu, jatuh pada 9 Mei setiap tahun. Sama ada kita memanggilnya ibu, emak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama saja. Ia adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu hujung minggu ini amat memberi makna yang besar kepada semua ibu di negara ini.


Hari Ibu bermakna semua pihak menghargai jasa seorang ibu. Berkat kesabaran dan dedikasi seorang ibu yang akhirnya melahirkan manusia yang berpengaruh besar dalam dunia persuratan, keilmuan, sains, teknologi, kepemimpinan dan dihormati bukan saja di negara ini tetapi juga di negara lain di seluruh dunia.


Hari Ibu yang istimewa ini sepatutnya diraikan bersama oleh anak dan suami(bagi yang masih bersuami) sebagai tanda penghargaan ke atas kasih sayang yang dicurahkan oleh wanita dalam membina kerukunan sesebuah rumah tangga serta pengorbanannya melahirkan zuriat bagi menyambung warisan keluarga.


Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada ibu yang dikasihi.


Justeru, pada kesempatan sambutan Hari Ibu yang diraikan diseluruh dunia, anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.
Tidak bermakna anda mesti memberinya hadiah yang mahal dan lumayan, tetapi adakalanya hadiah kecil menjadi sesuatu yang sangat bermakna kepada ibu anda.


Berikan ibu anda hadiah mengikut kemampuan kewangan anda kerana apa yang lebih penting bagi ibu ialah ingatan insan yang disayangi di sekelilingnya.


Bagi yang berkemampuan bolehlah membawa ibu anda menikmati hidangan istimewa di restoran terpilih, ataupun menghadiahkan ibu anda pakej umrah dan bercuti. Ada juga yang menghadiahkan set telekung baru yang bersulam cantik, tas tangan, dompet, buku ataupun novel yang digemarinya.
Mungkin juga sebagai ahli keluarga, anda berusaha melaksanakan hajatnya iaitu mempertemukan ibu anda dengan seseorang yang sudah lama ingin ditemui pada Hari Ibu itu nanti. Ia juga menjadi hadiah yang sangat bermakna kepada ibu anda sekiranya anda berjaya melakukannya.

Mungkin juga anda boleh menyambungkan semula silaturrahim yang sekian lama terputus dengan mengadakan jejak kasih dengan insan yang pernah singgah dihatinya suatu ketika dulu.
Kita sudah diajar dalam apa juga keadaan hendaklah mendahulukan hajat si ibu berbanding bapa kerana Islam amat menghargai peranan dan jasa seorang ibu.

Jadi kepada mereka yang bergelar anak di luar sana, hargailah ibu anda setiap detik dan ketika dan janganlah sekali-kali melukai hatinya.

Rabu, Mei 05, 2010

Berdoalah dengan bahasa sendiri

Di antara faktor penting agar doa kita mustajab, ialah keyakinan dan khusyu' ketika berdoa...

Bagaimana mungkin seseorang boleh khusyu' sekiranya ia tidak memahami apa yang sedang ia pohon dengan Allah.

Bagaimana kita mampu menghayati aduan dan munajat sekiranya tidak diketahui apa yang diungkapkan. Oleh itu , berusahalah memahami doa yang dipohon. Doa yang terbaik adalah daripada al-Quran dan ungkapan Rasulullah s.a.w ( sekiranya faham) .

Mungkin ada yang berkata, agak susah untuk menghafal doa-doa daripada al-Quran dan hadis, apatah lagi makna-maknanya.

Justeru, berdoalah dengan bahasa anda sendiri. Alhamdulillah sedikit penglibatan saya dalam berkongsi ilmu dengan masyarakat, saya biasakan berdoa di hujung setiap pertemuan dan menterjemahkan doa tersebut .

Feed back yang diperolehi amatlah positif. Kebanyakan hadirin menyatakan kegembiraan kerana dapat menghayati apa yang sedang diaminkan.

Di sini dikongsikan beberapa doa yang sangat baik untuk kita amalkan.

ربنا اغفرلنا ووالدينا وارحمهم كما ربونا صغارا

"Ya Allah , ampunilah dosa-dosaku,
dosa kedua ibu bapaku,
Kurniakanlah belas kasihanMu kepada mereka,
sebagaimana mereka mengasihi kami ketika kami masih kecil,

Kepada ibubapa yang masih hidup,
Kurniakanlah kesihatan kepada mereka untuk beribadat kepadaMu, Kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk berkhidmat menghiburkan hati mereka,

Kepada yang telah pergi meninggalkan kami,
Jadikanlah tempat persemadian mereka sebagai salah satu daripada taman-taman syurgaMu,
Tempatkanlah mereka bersama hamba-hambaMu yang soleh,

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Ya Allah, Kurniakanlah kepada kami,
Pasangan-pasangan, serta zuriat, Yang menjadi penyejuk hati kami, Jadikanlah pasangan kami sebagai pembantu kami untuk sentiasa taat kepadaMu,
Eratkanlah ikatan hati kami,
Kekalkanlah ikatan kasih kami hingga ke FirdausMu Ya Allah...

Jadikanlah zuriat kami, zuriat-zuriat yang soleh,
Lembutkanlah hati-hati mereka,
Masukkanlah Nur hidayahMu ke dalam hati-hati mereka,
Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka,
Jauhkanlah mereka dari kawan-kawan yang jahat,

JADIKANLAH MEREKA ZURIAT YANG BENAR-BENAR MENDOAKAN KAMI KETIKA KAMI BERADA DI DALAM KUBUR NANTI....

Ini sekadar sebahagian doa yang boleh kita amalkan .Paling penting , berdoalah dengan bahasa sendiri, semoga kita bertambah khusyu' dan semoga diperkenankan , insyaAllah. Wassalam.


Catitan oleh Syed Hisham

Selasa, Mei 04, 2010

Tarikan Rezeki Jumaat di Masjid As-Salam Puchong Perdana

Waktu menunjukkan jam 9 pagi. Kelihatan seorang lelaki dibantu seorang anak perempuannya sedang sibuk menyediakan beberapa peralatan dan persiapan. Angin pagi yang menghembus membawa aroma rempah dari sup tulang yang sedang disediakan. Itulah Tuan Haji Jamal Bin Mohamad, berusia 61 tahun, seorang peniaga yang sentiasa memeriahkan suasana hari jumaat dengan hidangan sup tulangnya di perkarangan Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Untuk mendapatkan sup yang enak dan isi yang empuk, beliau akan mula memasak seawal jam 8 pagi lagi. Sehinggalah kira-kira dua setengah ke tiga jam, barulah sup tulang Haji Jamal sedia dinikmati oleh penggemar-penggemar sup. Berbekalkan set hidangan berupa sepinggan nasi putih,
semangkuk sup tulang yang berisi, hirisan timun, sambal belacan yang berharga Rm 6 dan minuman sirap percuma, sudah cukup untuk menggamit pengunjung dari pelbagai tempat. Purata setiap kali berniaga boleh menjual 300 mangkuk dan ke atas sehinggakan jam 2.30 petang sahaja beliau sudah boleh mencuci periuk.




Seorang pengunjung setia, Mohd Fauzaan Md Daud, 26 ( gambar ) berkata “sup dia sedap, seminggu sekali kalau tak pekena rasa tak best “.




Berhampiran dengan gerai Haji Jamal pula, seorang peniaga En Azhar, 36 sedang sibuk bersama isterinya melayan
pelanggan-pelanggan yang sedang memilih lauk pauk enak yang ingin dinikmati bersama nasi beriani. Mereka sanggup datang dari Taman Dato’ Harun,Petaling Jaya semata – mata
kerana peluang perniagaan yang telah disediakan oleh Masjid As-Salam. Inilah antara yang membuatkan beliau tertarik untuk berniaga disamping meluaskan perniagaan katering milik beliau dan isteri. Hasilnya beliau telah menerima banyak tempahan makanan untuk pelbagai jenis kenduri kendara.

Menurut beliau, sepatutnya masjid-masjid lain mencontohi Masjid As-Salam mengadakan gerai jualan kerana memudahkan orang ramai yang berkerja menikmati hidangan tengahari dengan mudah. Disamping itu juga, beliau menyarankan agar Biro Belia Masjid dapat bergerak aktif bagi menarik minat golongan remaja dan belia datang ke masjid contohnya mengadakan perlawanan futsal di masjid.

Kemudian, kelihatan kelibat seorang wanita yang bernama Puan Sabariah Binti Yusof, berusia 38 tahun yang tinggal di Gombak sedang menyusun barangan – barangan kulit. Jumaat kali ini beliau berniaga berseorangan tanpa ditemani anak yang sedang bersekolah. Beliau mendapatkan bekalan barangan kulit tersebut dari Chow Kit yang berupa tali pinggang, dompet dan beg tangan kulit. Beliau mengharapkan gerai jualan jumaat akan tetap diteruskan disebabkan peluang perniagaan yang telah tersedia seterusnya sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarganya yang bergantung dengan hasil perniagaan beliau.
Selesai menemuramah sedikit sebanyak, teringin pula menghilangkan kehausan di waktu kepanasan matahari yang semakin memuncak. Dari jauh kelihatan menu minuman unik yang amat menarik perhatian orang ramai. Antaranya cendol, nangka, kedondong, karot susu dan katira. Keramahan peniaga tersebut membuatkan ramai pelanggan yang datang ingin menghilangkan dahaga sehingga tidak menang tangan. Itulah En Zulkarnain Mohd Nor berusia 35 tahun yang berasal dari Kg Sri Aman. Bercerita sedikit sebanyak minat beliau berniaga adalah disebabkan pengalaman kesusahan hidup “senang cerita, sampaikan nak beli kopi kapal api pun takde duit bang”ujar beliau. Bertitik tolak dari pengalaman tersebut, beliau mencari idea untuk meningkatkan kekuatan ekonomi sendiri. Hasilnya kini beliau sudah boleh tersenyum dan berjaya meringankan
bebanan hidup. Seorang peminat setia minuman beliau, En Azhar menyatakan sebab beliau sangat meminati air minuman En Zul ialah kerana daya penarik warna air minuman dan menu En Zul sedang melayan pelanggan
yang sentiasa berubah-ubah. Beliau mencadangan supaya pihak Masjid dapat menyusun atur kembali no tapak gerai dan mengasingkan mengikut kategori perniagaan. Beliau juga memuji Masjid As-Salam kerana sentiasa padat dengan program yang bermanfaat akan tetapi perlu ditambah kelas pengajian Al-Quran untuk golongan dewasa.
Laporan: Ahmad Shahir b. Masdan

Ahad, Mei 02, 2010

Sabtu, Mei 01, 2010

Program Kursus Peningkatan Diri membentuk belia yang bertanggung jawab

Puchong : Biro Nahi Mungkar Dan Keselamatan(BNMK) bersama-sama Biro Dakwah Masjid As-Salam Puchong Perdana telah menganjurkan Program Kursus Peningkatan Diri pada 24 dan 25hb April 2010 yang lalu.

Program Kursus Peningkatan Diri yang julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj Yasim Mohamed selaku Tuan Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Program yang berbentuk motivasi ini dimulakan pada jam 9:30 pagi, Sesi yang pertama dikendalikan oleh Tuan Hj Ahmad Zaki Bin Hj Arshad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberikan ceramah kepada 28 orang peserta yang terdiri daripada belia dan juga golongan dewasa.
Pada sesi kedua program tersebut yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Khairul Jahrin Bin Mohd Nasir, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Undang-undang Keluarga yang membincangkan topik Batas-batas Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan. Ceramah beliau yang bersahaja sangat disenangi peserta dan membuatkan program itu menjadi gamat.

Sesi ketiga program tersebut pula dikendalikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Ustaz Shahrom Bin Maarof yang mengetengahkan tentang kesalahan Jenayah Syariah Berdasarkan Enakman Jenayah Syariah Negeri Selangor(EJSS).

Program tersebut juga turut dihadiri oleh lima orang penceramah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), Mohd Noor Ikhram Bin Husin, Nadhirah Muhammad Arib, Siti Norma Aisyah Bt Malkan, Mohd Shahnizam Bin Azmi dan Fara Hazlini Bt Mohd Som.



Laporan oleh:
Maliya Zanti Dahlan
Grab this Widget ~ Blogger Accessories