Rabu, April 14, 2010

Sambungan.......Catitan Ust Wan Ji Berforum dengan Datuk Nakhaie

Memandangkan Dato’ Nakhaie ada menyatakan bahawa punca kelemahan umat Islam di Malaysia apabila umat disibukkan dengan perbalahan perkara khilafiyyah furu’iyyah. Makanya, aku juga turut mengupas bahawa antara punca kelemahan umat adalah terjadi kepada ulama’-ulama’ islam itu sendiri.

Ini kerana, dilihat ulama’-ulama tidak mengambil sikap toleransi dalam perkara khilafiyyah furu’iyyah ini, bahkan lebih menjadi ‘tulang belakang’ dalam mewujudkan pertembungan, walhal Islam itu mengajar kepada kita konsep tasamuh atau toleransi dalam khilafiyyah furu’iyyah.

Aku menyatakan bahawa dalam kehidupan ini, tidak ada manusia itu mempunyai kesatuan. Semua manusia ada perbedaan antara satu dengan yang lain. malahan, antara suami dan isteri pun, wujud perbedaan yang tidak boleh di satukan.“seorang isteri yang suka makan udang, kadangkala tidak suka makan sotong yang merupakan makanan kegemaran suami” ujarku.

Justeru, bagi mewujudkan kesefahaman, perlu wujud toleransi; iaitu suami yang suka makan sotong perlu membeli juga udang yang merupakan makanan kegemaran isteri. Sebagai isteri pula, dia tetap masak sotong kegemaran suaminya, waima dia tidak gemar makan sotong.

Sikap sebeginilah yang disebut sebagai toleransi yang perlu disuburkan dalam membicarakan tentang perselisihan pendapat dalam perkara khilafiyyah furu’iyyah.

Yang kelihatan adalah, pihak ulama sendiri yang bertembung dalam perkara khilafiyyah ini. Ulama yang menyokong qunut sendiri mendesak umat agar tidak solat dibelakang mereka yang tidak menyokong qunut, begitujuga sebaliknya.

Bahkan, sepatutnya ulama perlu menjadi orang yang meredakan umat dalam pertembungan, bukannya menjadi ‘tulang belakang’ terhadap pertembungan, seperti ulama hadir dengan menyatakan “perkara ini adalah khilafiyyah yang boleh ditoleransikan; sesiapa yang hendak buat qunut, maka silakan, dan sesiapa yang tidak mahu buat qunut, maka silakan” demikian lebih kurang kupasanku.

SOALAN CEPU-CEMAS HADHIRIN

Dalam sessi soalan hadhirin, seorang dari hadhirin telah bertanya dengan dua soalan; satu soalan ditujukan kepada Dato’ Nakhaie, dan satu soalan di tujukan kepadaku.

Soalan yang ditujukan kepada Dato’ Nakhaie adalah tentang dua parti Melayu yang terbesar. Aku meyakini, maksud dua parti terbesar itu adalah PAS dan UMNO.

Adapun soalan yang ditujukan kepadaku adalah, tentang kejayaan Nabi SAW dalam membina kerajaan Islam di Madinah yang merupakan lebih majmuk daripada kerajaan Malaysia. justeru, apakah formula Nabi SAW atas kejayaan pembinaan kerajaan Islam itu?

Dalam jawapan Dato’ Nakhaie, dilihat beliau amat cenderung usaha gabungan PAS-UMNO. Beliau mengulas begitu panjang tentang usaha pergabungan ini, dengan mendesak agar diketepikan keegoan antara kedua-dua parti ini.

Beliau membandingkan kesatuan umat yang dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam mengatasi pertembungan dalam masyarakat di zamannya; iaitu berkenaan dalam isu qunut subuh dengan menyatakan bahawa buat atau tidak buat qunut adalah khilafiyyah dalam perkara sunat, adapun penyatuan adalah perkara wajib.

Apabila sampai giliranku, aku mengulas isu ini dari sudut kepentingan memperlihatkan imej Islam yang baik. Makanya, aku menyebut satu kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW semasa di makkah, iaitu dengan pengislamnya seorang sahabat yang bernama As’ad bin Zurarah R.A; iaitu pengislamannya adalah kaitan rapat dengan firman Allah dari surat Al-‘An’am ayat 151.

Ekoran itu, aku menyatakan bahawa Islam di Malaysia tidak berjaya dilaksanakan apabila Islam itu tidak berjaya diberikan imej yang baik. Islam tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka perkauman Melayu, bahkan yang perlu diusahakan adalah, Islam yang diterima oleh Melayu, Cina dan India dan seluruhnya.

Persoalannya, apakah konsep yang perlu dikemukakan dalam memperlihatkan Islam ini boleh diterima ramai?

Aku menyatakan konsep perjuangkan keadilan Islam dan melawan kezaliman jahiliyyah perlu dikemukakan ke hadapan rakyat. Konsep keadilan yang hendak diperjuangkan, hendaklah konsep yang tidak menafikan hak; sama ada hak itu sesame muslim, mahupun terhadap non Muslim.

Aku berhujjah dengan sabda Nabi SAW

;إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;“Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada orang yang berhak[1]

Padaku, Islam di Malaysia tidak diterima apabila penafian hak ini wujud. Penafian hak ini pula, dilakukan atas nama agama, menyebabkan islam semakin tidak diterima, bukan sekadar dikalangan non Muslim, malahan muslim sendiri meninggalkan Islam.

Konsep keadilan Islam yang bersifat sejagat ini perlu diperjuangkan, agar Islam dilihat dengan imej yang baik, waima terhadap non Muslim.

Aku mendatangkan bukti dengan satu kisah berlaku pada zaman Nabi SAW, berkenaan Asma’ binti Abi Bakar yang masuk Islam, sedangkan ibunya yang bernama Qutailah binti Abdil ‘Uzza tidak memeluk Islam.

Ibunya telah memberikan hadiah, tetapi tidak diterima oleh Asma’ dengan alasan ibunya tidak beriman, menyebabkan Allah menurunkan firmannya dari surah Al-Mumtahanah ayat yang ke-8.

Konsep keadilan ini perlu ditonjolkan, jika mahu melihat Islam terlaksana di Malaysia. Jika atas dasar perkauman, sampai bila-bila pun Islam tidak akan berjaya dilaksanakan di malaysia.

Dengan riak wajah, Aku berkeyakinan, Dato’ Nakhaie memahami maksud kupasanku itu; bahawa gabungan antara PAS - UMNO tidak relevan dalam usaha hendak melihat pemerintahan Islam berjaya di Malaysia, bahkan usaha pergabungan PAS – UMNO merupakan cara untuk melahirkan kebencian rakyat terhadap Islam, dan sudah pasti ia merupakan kegagalan utama dalam perlaksanaan Islam di malaysia.

Bersambung.... (sessi makan..)

Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani ustaz_bakistani@yahoo.com

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories