Isnin, April 12, 2010

Catitan Ust Wan Ji berforum dengan Datuk Nakhaie

Ia merupakan Sejarah dalam hidupku, apabila bertemu-mata dan sepentas berforum dengan seorang tokoh ulama di Malaysia yang pernah menjadi Timbalan Presiden PAS (dulu : timbalan Yang DiPertua), dan kini berada dalam UMNO, iaitu Dato’ Haji Nakhaie bin Haji Ahmad.
Forum berkisar tajuk “Perkembangan Islam di Malaysia abad ke 21: Reality, Cabaran dan harapan” anjuran Masjid As-Salam, Puchong Perdana. Forum yang mengambil masa sejam setengah yang dipengerusikan oleh Nazir Masjid, Haji Yasin Muhammad itu, banyak perkara baru yang aku pelajari.
Lebih bersemangat lagi, apabila Haji Yasin Muhammad menjadi Moderator dengan gaya yang amat mengkagumkan dalam melontarkan soalan-soalan berkaitan Islam. Waima beliau tidak mempunyai pendidikan Islam secara formal, tetapi cara beliau melontar soalan-soalan tentang islam, menyebabkan kita ‘berasa’ hendak memanggil beliau dengan panggilan ‘Ustaz”.
Walaubagaimana pun, dalam forum itu, mempunyai 3 sessi; sessi Muqaddimah, sessi menjawab soalan-soalan ‘cepu-emas’ moderator, dan soalan ‘cepu-cemas’ dari hadhirin.
SESSI MUQADDIMAH
Dato’ Haji Nakhaie memulakan pemanasan pentas dalam mengupas tentang tajuk “Perkembangan Islam di Malaysia abad ke-21; Realiti, cabaran dan harapan” dengan mengemukakan pandangannya.
Mendengar lontaran pandangan oleh Dato’ Haji Nakhaie, aku menafsirkan bahawa Dato’ lebih menekankan tentang masyarakat majmuk di Malaysia, ekoran itu perlaksanaan Islam agak kurang mampu bertapak di Malaysia dengan jayanya.
Disampng itu juga, Dato’ ada mengulas tentang pertembungan yang berlaku di kalangan umat Islam (aka : Melayu) di Malaysia sendiri, seperti pertembungan dalam perkara mazhab, khilafiyyah dan sebagainya, disamping menunjukkan contoh beberapa buah Negara umat Islam yang terjadi pertembungan seperti ini, seperti Pakistan.
Mendengar sahaja Dato’ Nakhaie menyebut Pakistan, aku agak tersenyum. Ini kerana, mengenangkan Negara itu adalah Negara tempat terawal aku mengenali ilmu-ilmu Islam. Pun begitu, Kemudian daripada itu, pemikiranku terimbau dengan perbalahan mazhab di Pakistan, sehingga di zaman aku belajar di sana, aku dapat melihat bagaimana tiga orang guru hadis yang terkenal di Karachi, Pakistan, iaitu Maulana Nizamuddin, Maulana Yusuf ludhyanwi dan Maulana Sanaullah yang mati dibunuh ekoran pertembungan mazhab.
Apabila sampai giliranku, aku mengupas tajuk forum itu dari dua sisi, iaitu dengan (1) mengungkap sejarah Islam di alam melayu, kemudian (2) mengemukakan Islam di alam Malaysia.
Dalam kupasanku tentang Islam di Alam Melayu, aku kemukakan beberapa fakta sejarah tentang kemasukan Islam dan kejayaan perlaksanaan Islam di Tanah Melayu.
Antara kupasanku tentang Islam di Alam Melayu, aku mengemukakan beberapa pembuktian, seperti penggunaan kalimah Melaka yang berasal dari kalimah arab, iaitu ‘Malqa’ yang bermakna ‘tempat pertemuan’ Pedagang Arab dan India dalam menyebarkan Islam di tanah Melayu.
Begitu juga, pertemuan Batu Bersurat yang dijumpai di Kuala Berang, Terengganu; tercatit di batu tersebut tentang seorang raja yang memerintah bernama Mandalika, dan di Batu Bersurat itu juga ada menyatakan bahawa hukum hudud, qisas dan Ta’zir terlaksana, tanpa memilih bulu; iaitu hukuman itu akan dikenakan juga kepada pemerintah sekiranya mereka melakukan sebarang kesalahan jenayah syariah.
Kupasanku tentang Islam di Alam Malaysia pula, aku menyatakan bahawa sudah sampai masanya kita meneropong dan menilik cara dakwah Nabi SAW yang berjaya membina kerajaan Islam di Madinah yang lebih mempunyai masyarakat majmuk berbanding di Malaysia.
Kemajmukan masyarakat di Madinah dahulu, bukan sekadar mempunyai kepelbagaian kabilah Bangsa Arab, bahkan terdapat tiga kabilah Yahudi; iaitu Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.
Justeru, kejayaan itu perlu dicontohi dari Nabi SAW. persoalannya, bagaimana cara Nabi SAW lakukan itu?
Jawapanku itu, dengan Aku mengemukakan firman Allah SWT;
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ
Maksudnya;“Katakanlah (wahai Mu
hammad), Wahai Ahli Kitab, marilah kepada perkataan yang sama (titik kesamaan)”(Surah Al-Imran : 64)

Dalam kupasanku dari ayat ini, perlu dilihat kepada manhaj Nabi SAW dalam usaha mengislamkan Madinah.
Makkah adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai masyarakat yang majmuk, nyata Islam tidak berjaya dilaksanakan di Makkah, malahan mendapat tentangan hebat dari pihak pemerintah.
Keadaan ini amat berbeda di Madinah. Waima madinah mempunyai masyarakat majmuk, ternyata Nabi SAW berjaya melaksanakan pemerintahan Islam di Madinah di peringkat awalnya. Apakah rahsianya?
Sudah pasti ia berasaskan kepada firman Allah di atas. Apakah kesamaan antara kaum di madinah; di kalangan kabilah-kabilah arab dan kabilah-kabilah yahudi?
Jawabnya adalah, semua mahukan kepada keadilan, tidak mahu kepada kezaliman. Justeru, Nabi SAW hadir membawa konsep keadilan islam, menentang kezaliman jahiliyyah. Ia terbukti dengan kandungan Piagam Madinah.
SESSI SOALAN CEPU-EMAS MODERATOR
Dalam sessi ini, Haji Yasin Muhammad, moderator telah menghujahkan perkembangan Islam di Malaysia kini, yang memperlihat tentang keruntuhan moral muda-mudi kini, iaitu dengan berita pembuangan bayi yang menggerunkan.
Tuan Haji Yasin juga mendatangkan beberapa fakta tentang data pembuangan bayi dan sebagainya. Dinyatakan juga, komen Menteri terbabit, Shahrizat terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan ini.
Bagi menjawab soalan itu, Dato’ Haji Nakhaie lebih dilihat seperti memfokuskan tindakan menyalahkan itu kepada keluarga.
Terutama, berkali-kali beliau menyebut, “hatta para ustaz pun tidak boleh sangka, anak-anak mereka juga akan terlibat dengan zina”
Beliau juga ada menyebut, semasa beliau dalam kerajaan, bahawa beliau selalu bersuara kepada pihak pemerintah tentang usaha dalam menangani isu moral dan sosial di kalangan remaja.
Bahkan, dalam menjawab soalan tentang kenyataan yang dibuat oleh Menteri, Shahrizat, kelihatan Dato' agak mengkritik, seperti beliau menyatakan pihak kementerian terbabit perlu mempunyai plan dan perancangan dalam menyelesaikan masalah sebegini.
Apabila sampai giliranku, aku mengupas isu ini dari asal punca. Aku menyatakan, bahawa Islam itu hadir dengan ilmu. Ia terbukti dengan penurunan surah ‘Iqra’. “Iqra’ bermakna bacalah. Apabila sebut membaca, sudah pasti ia melibatkan ilmu” ujarku.
Masalah yang sedang menimpa umat kini, anak-anak muda tidak diterapkan ilmu dengan cara yang betul. Kita tidak boleh berharap untuk mereka hadir ke masjid untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, sebaliknya kita perlu mempunyai pendekatan yang berkesan dalam menerapkan ilmu agar mereka takut kepada Allah.
Aku menyatakan juga, antara kaedah pendekatan tersebut, kita tidak boleh melihat anak-anak muda yang berpeleseran sebagai musuh dan sebagai jijik, bahkan kita perlu melihat mereka dengan kasih sayang. Juga, dalam memberi kefahaman ilmu itu, tidak sekali-kali menyamakan penyampaian ilmu kepada mereka yang “kaki masjid dan surau”, sebaliknya perlu mempunyai cara yang sesuai dengan akal mereka.
Aku mendatangkan satu kisah yang berlaku pada Maharaja Cina terdahulu, iaitu berkenaan seorang raja yang bermimpi bahawa giginya semuanya gugur. Keesokkannya, dia telah memanggil semua ahli nujum negara dalam mengadap untuk mena’wilkan maksud mimpinya itu.
“maksud mimpi tuanku adalah, Tuanku, dan semua anak dan isteri tuanku akan mati” ujar salah seorang ahli nujum negara. Jawapan itu, menyebabkan raja tersebut marah sehingga mahu membunuh ahli nujum terbabit.
Melihat keadaan itu, menyebabkan seorang ahli nujum negara yang lain menyampuk dengan katanya, “maksud mimpi tuanku adalah, tuanku diberikan umur yang panjang. Sehinggakan tuanku terakhir sekali mati setelah anak dan isteri tuanku mati”
Mendengar jawapan itu, raja tersebut reda dan tidak marah lagi.” jika kita dengar dua perkataan itu, sama sahaja; iaitu mati. Tetapi, dengan cara yang berbeda, menyebabkan raja boleh reda dan tidak marah” ujarku.
Bagi menguatkan hujjahku itu, aku nyatakan bahawa hadis ada menyebut;
كلموا الناس على قدر عقولهم
Maksudnya;”Berkatalah terhadap manusia itu atas kadar akal mereka[1]”Aku juga berhujjah dengan menyatakan bahawa tidak boleh kepada keluarga sahaja perlu disalahkan dalam hal pembuangan bayi.
Sebaliknya, pihak kerajaan juga mempunyai tanggungjawab yang besar. Mungkin kita tidak mampu untuk perlaksanaan, memandangkan kerajaan kita tidak Islam. tetapi, dalam keadaan sedemikian kita perlu mengambil contoh strategi Nabi SAW dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah; iaitu baginda SAW menggunakan peluang yang ada untuk menyampaikan dakwah setelah sekian lama ditahan dan mendapat tekanan.
Bermakna, pihak kerajaan perlu menjadi sebagai satu duta yang serius dalam memahamkan rakyat tentang Islam. jika ini berjaya, insya Allah masalah sosial yang sedang menimpa akan berjaya diatasi.
Bersambung...
Petikan daripada Blog Al-Bakistani

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories