Selasa, Mac 30, 2010

Nazir mahu kariah bijak pilih AJK surau baru

Puchong - Tempoh khidmat ahli jawatankuasa (AJK) surau yang dipilih sebelum ini akan berakhir Mei depan dan pemilihan dibuat setelah tiga tahun AJK berkenaan memegang jawatan masing-masing.

Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana Tuan Haji Yasim Mohamed berkata, sehubungan itu pihaknya memohon ahli kariah supaya membuat pilihan dan keputusan bijak dalam pemilihan jawatankuasa baru surau. Katanya, apa yang penting ciri-ciri yang dipilih haruslah beramanah dan suka melakukan perkara serta aktiviti kebajikan. Mereka yang dipilih boleh menjadi model kepada masyarakat, berilmu pengetahuan, berupaya mengetuai majlis, menjadi imam dan memberi tazkirah serta juga mampu mengetuai halaqah.

Ini kerana saya mendapati pemilihan ahli jawatankuasa surau sebelum ini dibuat tanpa mengikut syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, AJK surau sebelum ini juga kebanyakannya dilantik dan bukannya dipilih seperti yang ditetapkan dalam syarat JAIS. Apabila ini berlaku, maka wujudlah ahli jawatankuasa yang terlibat dengan pecah amanah malah ada antaranya tidak pernah berkunjung ke surau.

Ianya juga menyebabkan kebanyakan surau sebelum ini tidak aktif dan hanya membiarkan imam mengetuai pengurusan surau," katanya. Beliau berkata, bawah pentadbiran Masjid As-Salam sendiri hanya 40 peratus surau yang aktif dalam menjalankan program dan penuh dengan pengajian.

Sebaliknya, selebihnya hanya menjadikan surau sebagai tempat solat tanpa menganjurkan aktiviti untuk masyarakat setempat.

"Jesteru, pemilihan AJK baru ini penting dan mereka haruslah yang berkelayakan serta berwibawa menjalankan tugas yang dimanahkan," katanya.
Tuan Haji Yasim berkata, beliau mengharapkan pemilihan jawatankuasa surau yang baru memenuhi syarat yang digariskan oleh JAIS supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Bagi pihak masjid sendiri, kita sudah mewujudkan laman blog khusus untuk memberi ruang pihak surau berinteraksi dengan masyarakat sekirannya ada program dijalankan, katanya.

Layari: http://masjidas-salam.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories