Jumaat, Mac 12, 2010

Biro Dakwah menerima Saudara Baru !

Sering kita dengar sekarang ini tentang masyarakat Islam khususnya di Malaysia, dilanda dengan bermacam-macam masalah antaranya keruntuhan akhlak remaja, penderaan, buang anak, dadah, ajaran sesat dan paling merisaukan ialah masalah murtad.

Mengikut laporan yang pernah di keluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di akhbar-akhbar suatu masa dulu, mereka telah menerima banyak permohonan untuk murtad oleh masyarakat Islam terutamanya dari golongan remaja.

Malah dalam tahun ini juga seluruh masyarakat Islam di Malaysia telah digemparkan mengenai seorang lelaki Melayu yang berasal dari Selangor telah mengahwini seorang lelaki beragama Kristian dari Britain . Bukan hanya dosa murtad yang dilakukan, malahan mereka turut melakukan dosa perkahwinan sejenis.

Alhamdulillah, di saat masalah-masalah seperti ini melanda, pasti ada hikmah yang menanti. Dengan limpah rahmat serta kebesaran dan juga kekuasaanNYA, Allah S.W.T berhak memilih sesiapa sahaja di kalangan hamba-hambaNYA samada Islam atau kafir seseorang itu untuk berada di dalam Agama Islam yang suci lagi benar.
Ini telah terbukti sendiri di Masjid As-Salam, dalam masa sebulan yang lalu iaitu antara Febuari dan March pada tahun ini 2 orang lelaki berbangsa Tionghua dan India dengan rela hati minat untuk memeluk Agama Islam.

Bermula dengan Encik Robin yang menetap di Vista Millenium, Puchong Perdana, disusuli pula selang 2 minggu kemudian dengan Encik Mahani A/L Vathamalai yang menetap di Permai Villa Puchong Permai. Bagi saudara Robin, beliau menyatakan didalam agamanya terlalu banyak sembahan untuk disembah dan beliau berasa hairan. Dan akhirnya beliau memilih Islam.

Bagi saudara Mahani pula, adik-beradik beliau hampir semuanya sudah memeluk Islam. Dan yang paling menarik, beliau juga sering menemani abangnya ke Institiut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) di Sabak Bernam untuk mengikuti kursus bagi saudara baru. Inilah antara sebab-sebabnya mereka terpaut hati untuk memeluk Islam.

Diatas tanggungjawab yang di amanahkan kepada Biro Dakwah, Tn Haji Sabri dan Tuan Haji Ahmad serta beberapa saksi telah membimbing ke dua-dua saudara baru ini untuk melafaz 2 kalimah syahadah. Disamping itu juga Tuan Haji Ahmad turut menyampaikan tazkirah ringkas mengenai kebesaran dan keagungan ALLAH S.W.T serta bertapa indahnya Agama Islam.

Insya-Allah, saudara-saudara baru kita ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Encik Harun Nayan dari Biro Kebajikan Masjid As-Salam akan memandu arah mereka ini untuk urusan-urusan selanjutnya, terutamanya di JAIS dan juga kursus-kursus bagi saudara baru di ILDAS.

Untuk makluman pada penghujung tahun 2009 hingga awal 2010 ini sudah 5 orang saudara baru dari kawasan Puchong telah didaftarkan oleh Encik Harun di JAIS. Ia termasuk seorang warganegara dari Afrika Selatan.

Afizan,
Laporan untuk BIRO DAKWAH MASJID AS-SALAM

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories