Ahad, Mac 14, 2010

Apakah persekitaran menjadi punca?

Puchong. Kebelakangan ini terlalu banyak konflik yang berlaku dalam masyarakat dan ianya dilihat seiring dengan kemajuan pembangunan negara. Institusi kekeluargaan tidak mampu lagi mengekang dan melindungi ahlinya daripada terjebaknya dalam kes salah laku dan perlakuan jenayah.

Apabila berlakunya kes penderaan, penyeksaan, pengambilan dadah dan kes-kes seperti remaja merokok dan kegiatan mencuri maka terbentuklah satu kudis yang semakin bernanah dimasa ini iaitu berlakunya perlakuan sumbang mahram dan pembuangan bayi. Lantas, setiap kali itulah munculnya pelbagai persoalan siapa yang harus dipersalahkan menghantui fikiran dan menjadi isu yang hangat dibincangkan.


Untuk itu, adakah kita perlu menyalahkan pengaruh rakan sebaya? Apakah persekitaran menjadi punca? Bukankah setiap ibu bapa yang mengatur sahsiah setiap anak sejak mereka kecil sehingga dewasa kini?

PUNCA KELALAIANSebenarnya, individu yang berakhlak mulia adalah disebabkan pengaruh dan didikan yang merupakan pembelajaran mereka dalam keluarga yang diteladani sejak kecil lagi. Dengan mewarisi cara hidup yang baik, pengajaran agama dan nilai-nilai murni yang difahami menjadikan mereka ini tidak mengabaikan ilmu itu untuk mendekati Pencipta-Nya.

Hari ini, ada satu perkara yang kita tidak sedari atau terlepas pandang yang menjadi punca kemusnahan sahsiah individu masa kini, iaitu bahan bacaan. Dalam dunia yang semakin terhakisnya sempadan, tiada apa yang mustahil untuk kita mendapatkan maklumat.

Seperti kemudahan internet yang menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan dan memberikan maklumat secara terperinci. Dengan hanya menggunakan hujung jari, apa saja boleh dicapai dalam sekelip mata tanpa mengambil kira daripada implikasi samaada ianya positif mahupun negatif pada diri dan dunia.
Masalah ini berlaku bukan setakat dari golongan remaja yang berdarah ‘panas’, bahkan juga golongan dewasa dan tua yang tidak terlepas dari kesempatan tersebut. Malah, ada sesetengah individu menggunakan laman sosial maya dengan melaga-lagakan sesama sendiri t tanpa menunjukkan identiti diri atau berlindung disebalik nama.

Bukankah itu bisa menjadi pembunuh? Gara-gara provokasi, fitnah dan celaan terhadap orang lain yang disampaikan dalam bahan bacaan melalui pelbagai kaedah, hingga sanggup mengaibkan maruah sesaudara dan seagama.

Bukan sahaja penggunaan internet yang melampaui batas tetapi juga, lambakan buku-buku dan majalah yang langsung tiada menyumbatkan pengajaran moral akan tetapi memenuhi setiap helaian dengan plot-plot cerita yang keterlaluan seperti novel-novel cinta yang berunsur asmaradana sedangkan ia masih boleh difahami tanpa perincian yang keterlaluan.


HILANG PUNCA DIRI

Oleh yang demikian, kita sebagai masyarakat yang dipertanggungjawabkan sesaudara dan seagama, perlu membuka mata dan berani dalam menyuara dan memberikan nasihat pada perkara yang salah agar bersama-sama dapat menyedarkan diri kembali daripada terus terlanjur melakukan kemungkaran.

“Hilang punca diri dalam hidup dengan tidak menerapkan nilai-nilai Islam boleh membawa kepada kemudaratan dan kemungkaran. Apatah lagi jika ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya pada anak-anak tanpa pemantauan dan kawalan.” Kata Encik Masri Bin Salleh selaku Pengerusi Biro Nahi Munkar dan Keselamatan (BNMK) Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatan Kuasa Masjid As-Salam telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Biro Nahi Mungkar dan Keselamatan di Masjid As-Salam Puchong Perdana dibawah seliaan Tuan Haji Yasim Mohamed yang merupakan Tuan Nazir Masjid tersebut. Diantara skop kerja BNMK adalah melakukan aktiviti pencegahan kemungkaran dan jenayah syariah seperti maksiat, gejala sosial, dan vandalisme disekitar kawasan Puchong.

Bukan itu sahaja, BNMK juga melakukan pemantauan dari aspek keselamatan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa terutamanya PDRM, pejabat agama seperti JAIS dan bekerjasama dengan pihak sekolah yang berhampiran.


Laporan oleh:
Maliya Zanti Dahlan
maliya.zanti@yahoo.com

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories