Selasa, Mac 02, 2010

ANJURAN BERSAMA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL ANTARA MASJID AS-SALAM & SURAU RA'AYAH PUCHONG PERMAI

Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t, sekali lagi MISI DAN VISI Masjid As-Salam yang selama ini sering kita dengar ianya diucapkan oleh Tuan Nazir telah mencapai matlamatnya. Salah satu diantaranya ialah, mengadakan hubungan baik antara masjid dan surau-surau dibawahnya. Inilah yang diharapkan oleh setiap penduduk islam di Puchong terutamanya, supaya perpaduan yang tidak mengenal batasan serta pemahaman tidak kira dari segi aspek apa sekali pun terjalin dengan baik sekali.

Oleh itu, Biro Dakwah Masjid As-Salam telah dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan satu Program Sambutan Maulidur Rasul di salah satu antara surau-surau yang di bawah Kariah Masjid As-Salam. Biro Dakwah telah sepakat untuk memilih Surau RA'AYAH, Puchong Permai untuk program tersebut. Dan ia telah dipersetujui oleh seluruh ajk masjid.

Sedikit pengenalan mengenai surau RA'AYAH. Ianya terletak di Taman Puchong Permai, pengerusi surau adalah En Zamri, imamnya adalah En. Uzir b. jalal. Keluasannya boleh memuatkan anggaran 400 jemaah sekali solat. Ia adalah kerana surau ini satu tingkat setengah, ruang solat bagi muslimah pula di bahagian atas. Mempunyai ruang dapur, bilik mesyuarat dan ruang pakir yang boleh memuatkan kira-kira 15 buah kereta.

Biro dakwah dan ajk surau RA'AYAH telah bersetuju untuk mengadakan program tersebut pada 26/2/2010. Pada mulanya Biro Dakwah menyangkakan program ini berlangsung dengan secara sedehana, tetapi semangat dan perpaduan yang ditunjukkan antara penduduk-penduduk di sana, membuatkan Biro Dakwah termasuk Tuan Nazir rasa terharu dengan sambutannya.

Pada majlis tersebut, mereka telah bermula dari awal jam 8.00 pagi iaitu dengan bergotong royong menyembelih lembu dan memasak. Sebelah petang pula, majlis bacaan ya'asin dan marhaban oleh kaum muslimah. Jam 7.30 malam solat maghrib dipimpin oleh penceramah jemputan iaitu ustaz Mohd Rasyiq B. Mohd Alwi. Selepas itu bacaan Al-Quran oleh En Ariffin B. Jaafar, seorang bilal dari masjid Wilayah Persekutuan. Kemudian bacaan selawat secara beramai-ramai.

Surau RA'AYAH juga telah memberi penghormatan agar Tuan Nazir membuat ucapan perasmian majlis. Ceramah Maulidur Rasul bermula kira-kira jam 8.30 malam, ceramah tersebut juga ada menyentuh tentang akidah umat serta bahaya murtad dan mengenai ajaran sesat.

Tuan Nazir sekali lagi diberi penghormatan untuk menyampaikan cenderahati tanda kenang-kenangan di antara kedua-dua pihak. Selepas solat isyak yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad dari Surau Mashitah, Puchong Indah. Jamuan makan bagi menjamu para jemaah turut disediakan. Kehadiran jemaah yang hadir pada malam itu dianggarkan 400 orang. Kutipan derma kilat untuk tabung dana Surau juga hampir mencecah RM 300.

Di sini Biro Dakwah juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan tahniah dan terima kasih kepada seluruh ajk surau RA'AYAH kerana sudi memberi kerjasama kepada kami dari pihak masjid untuk melaksanakan program ini. Semoga hubungan baik yang terjalin ini akan kekal. Dan sokongan dari surau RA'AYAH dalam membantu kami untuk mencapai VISI DAN MISI ini di masa hadapan amat kami harapkan.

Tidak lupa juga pada Tuan Nazir, walaupun pada awalnya hujan agak lebat ianya tidak menghalang Tuan Nazir turun bersama-sama hadir di majlis tersebut dari mula hingga tamat. Pihak surau dan juga para jemaah rasa berbesarhati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Tuan Nazir.

Jutaan terima kasih juga buat siak Masjid As-Salam serta pembantunya iaitu Tuan Haji Hamdan dan En Shamsul (pekerja am masjid) dengan bantuan dari segi P.A sistem. Mereka telah bermula sejak jam 6.15 petang lagi. Begitu juga En Husin Hasran yang selama ini banyak membantu program-program Biro Dakwah dari dulu lagi. Jasa tuan-tuan yang terlibat baik secara lansung atau tidak secara lansung mahu pun dari pihak masjid atau surau, kami amat benar-benar hargai.

Insyaallah, jika diizinkan Allah s.w.t serta sokongan yang tidak berbelah bagi dari semua pihak, terutamanya dari pihak Masjid As-Salam, program seperti ini akan diteruskan lagi ke surau-surau yang lain pula.

Sekian laporan Biro Dakwah
Masjid As-Salam.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories