Jumaat, Februari 26, 2010

Intipati khutbah yang disampaikan oleh Nazir As-Salam sempena Sambutan Maulidur-rasul 26/2/2010

Rasulullah s.a.w. memiliki semua sifat-sifat kepimpinan yang diperlukan. Baginda adalah seorang yang bijaksana dan ahli ibadah. Baginda seorang pelaksana ajaran-ajaran Allah, Baginda seorang Pentadbir Negara, Baginda seorang panglima perang, Baginda seorang penyusun dan pelaksana Undang-undang, Baginda seorang pembina akhlak dan moral umat, Baginda adalah pembina dan pengukuh persaudaraan sesama Islam. Kepimpinan Baginda meliputi kehidupan dunia dan akhirat.

Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk menyelamatkan manusia dari belenggu Jahiliyyah melalui dua kalimah syahadah.

Kalimah syahadah walaupun ringkas tetapi mengandungi makna dan tuntutan yang sangat besar, iaitu satu pengisytiharan bahawa tidak ada keagungan selain keagungan Allah, tidak akan tunduk dan mengabdikan diri melainkan kepada Allah, tidak akan mencari keredhaan selain keredhaan Allah serta tidak akan membentuk corak kehidupan selain corak kehidupan yang ditentukan oleh Allah.

Ayat yang terkandung di dalamnya kalimah “الله” adalah menyatakan hanya untuk mengesakan Allah, ianya tidak boleh diertikan dan disamakan dengan apa-apa jua perkataan lain secara nyata mahupun tersembunyi, kerana ia pasti akan membawa maksud mensyirikkan Allah.

Manakala "Muhammadarrasulullah" merupakan pengisytiharan bahawa hanya melalui ajaran yang disampaikan oleh Baginda sahaja yang dapat menjamin kesejahteraan dan keutuhan umat manusia, hanya dengan menteladani kepimpinan Baginda sahaja mampu membawa masyarakat ke arah kehidupan yang tinggi nilai moral dan peradabannya serta dipandang mulia di sisi Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. bukanlah seorang ahli falsafah yang melahirkan hujjah akal semata-mata tanpa panduan wahyu atau menyampaikan pemikirannya yang tinggi melangit tanpa mengambil kira suasana alam nyata.

Baginda bukan hanya seorang pendakwah yang bekerja memberi syarahan atau khutbah yang berapi-rapi yang sedap telinga mendengar, kemudian membiarkan masyarakat terpinga-pinga dengan lontaran bahasa yang menawan emosi dan perasaan.

Baginda s.a.w. tidak membiarkan dengan hanya melihat kejahatan-kejahatan dan kemungkaran-kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat tanpa merancang program-program yang boleh membawa perubahan masyarakat secara menyeluruh ke arah kebaikan.

Apabila berhadapan dengan kaum musyrikin yang membentuk kumpulan-kumpulan pemidato dan penyair-penyair untuk menentang Islam, maka Baginda membentuk kumpulan-kumpulan penyair-penyair dan pemidato-pemidato Islam seperti Hasan bin Thabit r.a. bagi menyerang balas cemuhan mereka, apabila peperangan tidak dapat dielakkan maka Baginda berperang, tetapi apabila ada peluang berdamai maka Baginda tidak melepaskan peluang untuk berdamai. Baginda sentiasa bersedia menghulurkan tangan untuk berdamai.

Keistimewaan Rasulullah dalam membentuk umat manusia dengan tidak menggunakan kekerasan tetapi mengubah manusia dengan semangat ukhuwwah dan kasih sayang serta memberi perhatian utama kepada soal persaudaraan dalam masyarakat.

Baginda Rasulullah adalah manusia yang paling pengasih dan mempunyai perasaan cinta yang tulen terhadap semua manusia. Baginda berjaya menyatu-padukan hati-hati penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa.

Baginda berjaya menyatukan dan membina kekuatan ummah melalui ukhuwah Islamiah khususnya dalam memperkukuhkan negara Islam dan penyebaran dakwah kepada dunia luar.

Rasulullah s.a.w. diutuskan adalah untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Seluruh makhluk mendapat nikmat hingga ke akhir zaman. Kepada umat manusia khususnya ditinggalkan dua perkara selagi mana manusia tetap berpegang atau berpandukan kedua-dua perkara tersebut dalam kehidupan mereka nescaya mereka tidak akan sesat daripada hidayah Allah. Dua perkara itu adalah kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya para sahabat, tabi’in dan ulama’ silam telah berjaya menterjemahkan maksud Al-Quran dan As-Sunnah dalam segala permasalahan kehidupan. Mereka telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia tanpa menimbulkan perselisihan.

Namun apa yang berlaku kini amat membimbangkan, apabila timbul usaha yang mahu mempertikaikan apa yang telah disepakati oleh ulama’ dahulu. Oleh itu kita hendaklah berwaspada terhadap usaha mereka yang mahu ukhuwwah di kalangan umat Islam hancur berkecai.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories