Jumaat, Januari 22, 2010

Suami dahulu..........Suami sekarang..........


SEKALI air bah sekali pantai berubah, begitu juga halnya dalam aspek perhubungan suami isteri. Seperti dalam banyak perkara lain, corak hubungan suami isteri juga berubah mengikut peredaran masa dan perubahan gaya hidup. Banyak perbezaan yang boleh dilihat terutamanya dari segi layanan dan tanggungjawab suami dan isteri.

Pegawai Pembangunan Keluarga di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hamzah Ibrahim berkata, tanggapan masyarakat terhadap tanggungjawab suami dan isteri berubah dari zaman ke zaman. “Dahulu, suami mencari nafkah, isteri menguruskan rumah tangga, mengasuh serta mendidik anak. “Kini, suami dan isteri mencari nafkah, bersama-sama menguruskan rumah tangga, mengasuh dan mendidik anak,” ujarnya ketika ditemui di Menara LPPKN, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, suami dahulu tidak pernah mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari lahir isteri dan anak-anak. Malah suami dahulu juga amat kurang membantu isteri di rumah. “Suami dahulu mempunyai ego yang amat tinggi, mereka amat malu untuk membantu tugasan rumah tangga, sebagai contoh menyidai pakaian di rumah. “Majoriti mereka terlalu tegas serta tidak bijak menawan hati isteri,” jelasnya.

Tetapi, katanya, kini kebanyakan suami telah pandai mengambil hati isteri dengan mengingati hari-hari istimewa seperti hari lahir, hari perkahwinan, hari pertemuan pertama dan juga hari lahir anak-anak. Pasti ada sahaja kejutan dibuat seperti menghantar hadiah seperti bunga, kek atau hadiah-hadiah yang pasti menjadi idaman isteri dan membawa makan di luar bagi meraikan hari tersebut.

Begitu juga dengan kerja-kerja rumah, suami telah mula ringan tulang untuk membantu isteri di rumah kerana memikirkan isteri juga penat setelah bekerja dan mencari nafkah di luar. “Suami sekarang juga banyak bertolak ansur dan turut menguruskan rumah tangga bersama-sama. “Ini akan menambahkan lagi keeratan kasih sayang yang sedia ada. “Mengasuh dan menguruskan anak juga turut dibuat bersama-sama bagi meringankan beban isteri,’’ katanya.

Nilai kasih sayang Sementara itu, Hamzah memberitahu, kasih sayang yang lahir daripada pasangan suami isteri boleh dilihat melalui cara mereka berkomunikasi. Sebagai contoh, panggilan manja seperti ‘sayang’ untuk menggambarkan kasih sayang yang terbit dari hati. Namun, tanda-tanda bahawa nilai kasih sayang pudar ialah apabila salah seorang daripada pasangan tersebut mula memperkatakan tentang kelemahan masing-masing.

“Lebih teruk lagi jika suami atau isteri terbabit mula mengeluarkan kata-kata sinis dan perli memerli terhadap pasangan,” tambahnya. Jelas menunjukkan di sini bahawa asas sebuah perkahwinan yang bahagia lahir apabila pasangan tersebut berbangga menjadi pasangan suami isteri. Mereka boleh berkongsi pendapat, tanggungjawab, perasaan serta emosi. Paling penting, pasangan suami isteri mestilah boleh berkomunikasi dan lebih manis jika mereka sering menggunakan bahasa cinta yang baik, berkeyakinan, romantis disertai dengan sentuhan, pelukan, ciuman dan belaian.

Dalam pada itu, menurut Hamzah, setiap pasangan suami isteri yang telah mengambil keputusan mendirikan rumah tangga haruslah menerima pasangan mereka seadanya. Selaku isteri haruslah hormat dan menerima suami sebagai pemimpin, manakala suami pula harus hargai dan mengakui pengorbanan isteri. “Kerukunan rumah tangga memerlukan usaha dan pengorbanan,’’ katanya.

Pendapat tersebut turut disokong oleh pasangan Suhana Abu Bakar dan suaminya, Shahrul Azlan Iberahim. Pasangan yang masing-masing berusia 29 tahun ini telah tiga tahun mendirikan rumah tangga dan diserikan dengan sepasang cahaya mata berusia dua tahun dan setahun. Menurut Suhana, apabila masing-masing memahami tanggungjawab serta keperluan perkahwinan, setiap urusan dilakukan dengan adil dan bantu membantu.

“Saya memahami tanggungjawab suami dan kami mengambil pendekatan bertolak ansur serta bantu membantu dalam setiap urusan,” jelasnya. Pendapat Suhana diakui oleh suaminya Shahrul, malah beliau turut mengambil contoh perbezaan tanggungjawab suami atau bapa dahulu berdasarkan daripada pengalamannya.

“Bapa dahulu mempunyai ‘kuasa veto’ yang lebih dan bersifat tidak mesra dengan ahli keluarga. “Cara didikan daripada nenek moyang yang mempengaruhi keadaan itu. Tambahan pula pada zaman tersebut, bapa dan suami menjadi sumber ekonomi keluarga yang utama, jadi semua ahli keluarga harus tunduk dan patuh padanya.

“Justeru wujud ruang yang membatasi hubungan kasih sayang antara bapa dengan anak dan suami dan isteri,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories