Jumaat, Januari 22, 2010

Pertemuan bersejarah pimpinan Masjid As Salam dengan pimpinan surau di bawah naungan masjid

Tanggal 21 Januari 2010 telah berlangsung satu pertemuan di antara pimpinan baru Masjid As-Salam dengan pimpinan surau-surau di bawah naungan masjid. Pertemuan bersejarah ini telah berlangsung di Dewan Kuliah Utama masjid. Pimpinan utama atau wakil dari lebih sepuluh buah surau telah hadir di dalam pertemuan tersebut. Hampir 50 orang jawatankuasa surau termasuk jawatankuasa masjid hadir pada pertemuan yang bersejarah ini.

Terdahulu, semua yang hadir telah menikmati sedikit jamuan ringan yang disediakan dan majlis sebenar hanya bermula kira-kira jam 9.30 malam. Sebagai pemula bicara, Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed dengan penuh semangat telah menerangkan visi dan misi masjid. Selanjutnya beliau telah menyentuh berhubung kekuatan, kelemahan dan peluang yang ada pada masjid. Tuan Nazir juga turut mengajak semua yang hadir untuk melihat kedudukan masjid baik dari segi binaan, aktiviti, program, prasarana dan mercu tandanya untuk dibandingkan dengan sepuluh masjid lain yang kedudukannya berhampiran dengan Masjid As Salam.

Tuan Nazir selanjutnya telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan AJK Masjid, Ketua-ketua Biro serta peranan dan fungsi setiap biro agar mudah difahami dan dimanfaatkan peranan mereka oleh setiap anak kariah.

Para jawatan kuasa surau telah diperingatkan berkaitan urusan pendaftaran anak kariah di kawasan surau masing-masing. Arahan bertulis dari JAIS juga telah diperjelaskan, di mana semua surau perlu mengadakan mesyuarat agung masing-masing sebelum 31 Mei 2010 yang akan datang. Jika perlu, pihak surau boleh menjemput jawatankuasa masjid untuk hadir semasa mesyuarat agung berlangsung sebagai pemerhati.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi soal-jawab di antara jawatankuasa surau dan Nazir. Banyak persoalan, cadangan dan komentar yang diberi dalam suasana yang begitu harmoni. Namun secara keseluruhannya, isu komunikasi telah mewarnai sesi soal jawab ini. Isu komunikasi menjurus kepada maklumat yang diterima dari JAIS lewat sampai ke tangan Nazir, atau maklumat yang ada tidak disalurkan secara efektif kepada surau-surau dan juga kesukaran Nazir untuk berhubung secara langsung dengan pimpinan, khususnya Pengerusi dan Setiausaha surau.

Tuan Nazir memberi jaminan bahawa isu komunikasi ini akan ditangani segera dan diperbaiki. Tambahan pula dengan pelantikan, Ustaz Ahmad Shahir Masdan Al-Hafiz, selaku Pengurus Masjid sepenuh masa, masalah komunikasi ini dijangka dapat ditangani secara lebih baik dan harmoni.

Akhirnya, Nazir merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir dan diharap pertemuan serupa dapat diadakan semula pada masa-masa yang akan datang, insyaAllah. Pertemuan berakhir kira-kira jam 11.15 malam dengan setiap surau dibekalkan dengan kalender masjid untuk diedarkan kepada anak-anak kariah mereka.

Dicatat oleh:
Roslan Hanapiah, Pengerusi Biro Belia & Rekreasi

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories