Isnin, Januari 25, 2010

Masjid Wahana Transformasi Ummah

Bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktutr dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali.



SOALAN :
1. APA PANDANGAN DATO’ MENGENAI PERKEMBANGAN MASJID-MASJID DI NEGERI SELANGOR?
Alhamdulillah dewasa ini saya dapat melihat perkembangan masjid dan surau semakin baik dan permintaan untuk mendirikannya di kawasan-kawasan perumahan baru dan taman-taman amat memberangsangkan, namun kita juga dalam usaha untuk memperkasakan dari sudut pengisian, pentadbiran dan pengurusan agar masjid ini benar-benar menjadi wahana transformasi ummah.
Sehubungan dengan itu setelah saya, Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan JAIS melawat masjid-masjid di Singapura pada Julai lepas mendapati bahawa di Negeri Selangor perlu kepada perubahan gaya dan catra mengurus dan mentadbir masjid terutamanya perlu kepada kepimpinan masjid baru yang ada wawasan untuk pembangunan masjid samada dari sudut aktiviti pengimarahan masjid, pentadbiran, kemasyarakatan, keceriaan, sumber maklumat, ekonomi, tarbiyyah dan riadhah. Oleh itu faktor umur penjawat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid adalah dicadangkan 60 tahun ke bawah dan dicalonkan daripada mereka yang sekurang-kurangnya ada kelayakan akademik dari SPM, diploma, ijazah dan ke atas.

2. ADAKAH DATO’ BERPANDANGAN BAHAWA INSTITUSI MASJID DI SELANGOR SELAMA INI TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG SEPATUTNYA, BAGAIMANA?

Alhamdulillah kita tidak nafikan sebahagian amanah yang asas seperti mendirikan sembahyang lima waktu, Sembahyang Jumaat dan sedikit pelaksanaan tazkirah dan kuliah telah dilaksanakan tetapi ia tidak cukup syarat untuk masjid dijadikan sebagai wahana tranformasi ummah sedangkan tugas dan tanggungjawab kita belum digembelingkan sehingga ke peringkat maksimum. Dari sudut pentadbiran dan pengurusan umpamanya, kita perlu jana masjid-masjid dan surau-surau agar mengikut segala arahan JAIS dan Kerajaan Negeri seperti mengemaskinikan aktiviti, kewangan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid, Mesyuarat Agong setiap tahun dan mengikuti kursus-kursus pengukuhan pentadbiran dan pengurusan agar ianya lebih berupaya, telus, ada pertanggungjawaban, adil dan amanah.

3. APAKAH KRETERIA YANG SEPATUT ADA PADA MASJID-MASJID DI SELANGOR INI?

Masjid dan surau di Negeri Selangor mestilah dijadikan sebagai wadah pengembelingan amal islami masyarakat dan wahana transformasi ummah melalui program mesra remaja, mesra keluarga dan mesra masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menganjakkan paradigma kita ke arah:
a. Pemantapan organisasi pengurusan masjid dari segi kekompetensian pengurus dan jawatankuasa masjid;b. Memperkasakan kurikulum dan metodologi pembelajaran Islam di masjid-dan surau;c. Membentuk jati diri ummah menerusi masjid dengan program 3M di atas;d. Menambah baikkan struktur pimpinan masjid;e. Memperkukuh, menambah dan mempertingkatkan lagi tenaga-tenaga pakar dalam kepimpinan masjid;f. Mempromosikan sistem masjid cemerlang dengan mengenakan aras kualiti sasaran seperti KPI ‘Key Performance Indeks’ kepada 50 masjid seluruh Negeri Selangor;g. Mewujud dan meningkatkan jaringan ICT dan Ahli Jawatankuasa Kariah melalui mukim-mukim atau zon-zon yang sedia ada;h. Masjid sebagai pusat maklumat dan kemasyarakatan yang bersifat ‘one stop centre’(aktiviti berpusat).

4. BAGAIMANA DATO’ MELIHAT PADA PERKARA PENGIMARAHAN MASJID DI SELANGOR INI DAN SIAPAKAH YANG PATUT BERPERANAN ?

Selain daripada Jabatan Agama Islam yang menjadi mentornya ianya juga patut disambut oleh badan-badan lain seperti NGO, Badan-badan koporat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sukarelawan selain dari Jawatankuasa dan Pegawai Masjid sediada. Pembangunan pemikiran atau anjakan sikap dan mentaliti cara berfikir kita mesti digandakan terutama Pegawai dan Jawatankuasa masjid lebih-lebih lagi dalam suasana bertambahnya gejala sosial, murtad, penagihan dadah dan sebagainya yang memang mengancam akidah umat Islam. Oleh itu suatu aktiviti atau program islah masyarakat mesti dibuat dan dilaksana oleh kita bersama terutama institusi masjid. Kita mahukan institusi masjid lebih berperanan daripada hanya sembahyang lima waktu dan menyusun satu dua program semata. Di samping itu kita ada Ketua Pegawai Penyelaras dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Daerah yang membantu pemantauan dan pelaksanaan program pengimarahan seluruh Negeri Selangor.

5. ADAKAH DATO’ MELIHAT JAWATANKUASA YANG DILANTIK BAGI MENGURUSKAN HAL EHWAL MASJID TELAH MEMAINKAN PERANAN YANG SEBAIKNYA?

Sebagaimana yang saya katakan tadi Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita perlu memainkan peranan sehingga ke peringkat maksimum agar mampu menampung kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan masjid. Kita harapkan dengan penampilan jawatankuasa dan pegawai masjid yang bertukar sesi lepas Mei ini akan lebih perkasa dan kompeten. Menjadi tanggungjawab kita memperkukuhkan institusi masjid dengan latihan, kursus dan konvensyen agar mereka mampu berperanan sebaiknya.

6. APAKAH CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA AJK MASJID YANG DILANTIK DI SELURUH MASJID NEGERI SELANGOR?

Sebagaimana pekeliling Tatacara Pencalonan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita telah meletakkan sebahagian kriteria-kriteria mereka seperti umur tidak melebihi 60 tahun, mesti anak kariah, boleh membaca, menulis dan mengira.
Bagi jawatan Nazir, keutamaan akademik minima ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Agama (SPA)/ Empat Thanawi dan keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai diploma dan ke atas di samping mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa dan jemaah di samping mampu mengimamkan sembahyang, menyampaikan khutbah serta mengetuai majlis tahlil.
Bagi jawatan Setiausaha, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang memiliki pengalaman kesetiausahaan dan pentadbiran. Jawatan Bendahari, keutamaan hendaklah terdiri daripada mereka yang memiliki ilmu dan berkemahiran dalam penyimpanan buku kira-kira dan jawatankuasa lain hendaklah terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran seperti mempunyai pengetahuan agama Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah, selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental, mempunyai daya kepimpinan dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan ahli kariah dan menunjukkan ciri-ciri kreatif serta sering membawa idea-idea baru untuk meningkatkan kemajuan masjid / surau.

7. APA YANG DATO’ MAKSUDKAN DENGAN “MASJID WAHANA TRANFORMASI UMMAH”?

Sejarah Islam membuktikan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menjadikan institusi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat, pusat penyatuan dan pengislahan ummah serta menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan dan pelbagai lagi. Bermula dari sinilah terpancar cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian, ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia.Di samping itu Baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.
Umat Islam berubah daripada menyembah berhala dan mengabdikan diri sesama manusia kepada hanya menyembah Allah dan mengikut peraturan dan undang-undang Allah SWT semata-mata. Inilah yang kita harapkan fungsi dan peranan masjid hari ini.

8. SEPERTI YANG DATO’ INGINKAN, ADAKAH SALAH SATU PERKARA YANG PERLU ADALAH MASJID SEBAGAI PEMANGKIN DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT ISLAM YANG BERKUALITI, JELASKAN ?

Hari ini kita mahu melihat masjid bukan sahaja mampu ditadbir dan diurus dengan baik tetapi mampu menjadi penggerak, pemangkin dan sebagai agen untuk merubah masyarakat Islam khususnya daripada kurang berilmu bertambah ilmunya, tertutup minda mereka kepada terbuka, berpeluk tubuh kepada peka dan perihatin sentiasa berfikir dan bertindak bagaimana hendak mengislahkan ummah dengan program-program yang disusun, bagaimana hendak memajukan ekonomi umat Islam, politik umat Islam serta pendidikan umat Islam.
Berfikir tentang peranan masjid mampu membendung gejala sosial dan membangun masjid dengan segala prasarana ilmu, tarbiyah dan pendidikan Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

9. BAGAIMANA PULA DATO’ MELIHAT PERANAN JEMAAH DISESEBUAH MASJID?

Tugas mengimarahkan masjid bukan hanya dibebankan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid sahaja tetapi ia merupakan tugas dan tanggungjawab ahli jemaah dan Anak Kariah masjid keseluruhannya. Contohnya kalaulah masjid menyusun banyak program tetapi kesedaran masyarakat sekeliling tidak mengambil endah dan tidak memberikan sokongan serta kerjasama, bagaimana suatu masjid itu akan maju, warganya faham Islam dan berubah sikap? Sebab itu peranan dan fungsi Anak Kariah dan jemaah orang Islam atau tepatnya penduduk Islam di sekitar sesuatu masjid itu turut penting dalam memainkan peranan mereka dalam memakmurkan masjid.

10. APAKAH CIRI-CIRI YANG PATUT ADA DI MASJID-MASJID KITA DI NEGERI SELANGOR INI AGAR IA MENJADI SEBAGAI PEMANGKIN KEPADA UMAT ISLAM KHUSUSNYA?

Saya jelaskan di atas cumanya paling minima semua Nazir-Nazir, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid mesti boleh bekerjasama dengan Kerajaan sekarang di samping memenuhi segala keperluan masyarakat setempat dari semua kemudahan yang patut seperti masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Dan mencapai visi masjid untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘One Stop Centre’(pusat aktiviti) kepada masyarakat.

11. SECARA AMNYA APA PANDNGAN DATO’ BERHUBUNG DENGAN MASJID DALAM MEMBENTUK LAPISAN MASYARAKAT SETERUSNYA SEBUAH NEGARA YANG DIIDAM-IDAMKAN “ BALDATUN TAIYIBATUN WARABBUN GHAFUR”

Akhirnya apabila masjid benar-benar menjadi pusat atau centre kepada masyarakat Islam dan pengembangan ilmu berjalan dengan lancar serta bersepadu dunia dan akhirat melalui wadah masjid, apabila umat Islam faham Islam secara menyeluruh (syumul) dan hilang kejahilan, apabila umat faham tugas dia sebagai hamba, faham tugas dia sebagai khalifah, faham amar ma’ruf dan nahi mungkar dan faham jihad untuk memertabatkan umat Islam dan meninggikan syiar Islam, saya yakin masing-masing ada tanggungjawab, masing-masing ada peranan dan masing-masing ada amanah akhirnya proses untuk mengislahkan ummah dan Negara berjalan serentak dan itulah bibit-bibit mula ke arah “Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.t.k.

SUMBER JABATAN AGAMA ISLAM SELANGORSEMPENA KELUARAN MAJALAH JAIS BIL. 2

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories