Isnin, Disember 07, 2009

Program Korban Perdana Masjid As Salam – Puchong Perdana








1. Alhamdulillah, pagi Sabtu bertarikh 28 November 2009 bersamaan 5 Zulhijah 1430 telah mencipta satu lagi sejarah tersendiri khususnya untuk anak kariah Masjid As Salam Puchong Perdana.

2. Pada pagi tersebut sehinggalah sekitar jam 12.30 tengah hari telah menyaksikan wujudnya satu semangat, ukhuwah dan persefahaman yang baik dari kalangan anak kariah Masjid As-Salam dalam menjayakan program Korban Perdana bagi tahun ini.

3. Manusia merancang, Allah merancang dan sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik dan sempurna. Kata-kata ini sekadar mengesahkan apa yang berlaku di dalam beberapa mesyuarat yang telah diadakan bagi menghadapi program ini.

4. Mungkin tidak ramai yang tahu, sewaktu mesyuarat pertama diadakan (dan kita cuma ada tidak sampai sebulan dari tarikh Hari Raya Korban), tidak ada seekor pun lembu yang telah pasti di sah untuk dikorbankan.

5. Dalam kata lain, pada masa itu, belum ada seorang pun anak kariah yang telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam program korban tersebut!

6. Semasa mesyuarat kedua diadakan, sambutan yang diterima masih kecil dan seakan tidak mampu untuk mendukung program yang namanya ‘Korban Perdana’.

7. Akhirnya berkat kecekalan, kesabaran, usaha promosi yang berterusan dan semangat yang ada pada semua jawatankuasa yang terlibat dan pastinya dengan izin Allah, maka pada mesyuarat terakhir, sejumlah 11 ekor lembu dan seekor kambing telah sah untuk dikorbankan.

8. Alhamdulillah menjelang detik-detik terakhir, jawatankuasa telah menerima dua ekor lagi lembu untuk dikorbankan di Masjid As Salam.

9. Program penyembelihan pada pagi itu disambut dengan hujan yang lebat. Hujan lebat berhenti seketika bagi memungkinkan majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Nazir.

10. Selepas itu setiap peserta korban telah membuat penyerahan kepada wakil penyembelih, Tuan Haji Abd Samad untuk proses penyembelihan bermula. Sepanjang program, hujan renyai, lebat dan ada kalanya redup mewarnai suasana penyembelihan.

11. Sebanyak 13 kumpulan telah disediakan bagi menguruskan setiap ekor lembu bermula dari proses sembelih, melapah, menimbang dan seterusnya membersihkan kawasan kerja masing-masing. Hujan lebat yang turun pada petang tersebut, seolah-olah ‘mencuci’ atau membersihkan kekotoran di kawasan kerja yang terlibat.

12. Program ini telah diketuai oleh Encik Masri Salleh atau Pak Man selaku Pengarah. Ketokohan Pak Man dalam mengetuai program ini terserlah bila mana proses penyembelihan, melapah, timbangan, agihan, jamuan dan kebersihan semuanya berjalan lancar dengan kerjasama erat semua peserta korban, jawatankuasa, para petugas termsuk warga negara asing seperti Indonesia, Bangladesh dan Pakistan yang turut mengambil bahagian.

13. Biarpun ini merupakan program sulung di bawah jawatankuasa baru pimpinan Tuan Nazir, Haji Yasim Mohamed, namun kelancaran program, kerjasama dan ukhuwah yang dipamerkan oleh para anak kariah, insyaAllah, bakal menjanjikan pelaksanaan yang lebih baik, tersusun dan ceria pada masa-masa yang akan datang.

14. Terima kasih kepada semua.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories