Isnin, Disember 14, 2009

"JAIS PELAWA INDIVIDU SEDIAKAN TEKS KHUTBAH JUMAAT"

1. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mempelawa mana-mana individu yang mempunyai kemahiran menyediakan teks khutbah agar menghantarnya ke JAIS.
2. Demikian pelawaan SS Pengarah, JAIS, Dato' Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi ketika berucap di majlis perasmian Seminar Pemantapan Khutbah Negeri Selangor 2009 yang telah diadakan pada 14 November, 2009 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

3. "Saya mempelawa kepada mana-mana individu atau para khatib yang sering membacakan khutbah sendiri agar menghantarnya ke JAIS untuk dinilai oleh Jawatankuasa Panel Khutbah Negeri Selangor, jika khutbah itu baik dan diterima oleh jawatankuasa ini, kita akan edarkan ke seluruh masjid di negeri selangor untuk dibaca. Kita juga akan membayar saguhati sebanyak RM400 untuk setiap khutbah yang diterima dan disahkan oleh jawatankuasa ini."

4. JAIS telah menubuhkan Jawatankuasa Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tujuan memantau, menyelia serta menyediakan teks-teks khutbah sepanjang tahun untuk dibaca di seluruh masjid di Negeri Selangor.

5. Jawatankuasa ini juga berfungsi menyemak dan mengesahkan sesuatu teks khutbah sebelum teks tersebut diedarkan ke seluruh masjid.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Pengarah JAIS dan antara ahli panelnya terdiri daripada tokoh ilmuan agama dan akademik. Wakil Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga dilantik menduduki jawatankuasa tersebut.

6. "Kita di Selangor mempunyai Jawatankuasa Khutbah yang berfungsi bagi menyediakan teks khutbah untuk dibaca di seluruh masjid di Negeri Selangor. Jawatankuasa ini akan menilai, meneliti dan mengesahkan sesebuah khutbah sebelum diedarkan ke seluruh masjid di Negeri Selangor". katanya.

7. Beliau berucap semasa mengiringi YB Dato' Dr. Hasan bin Mohamed Ali, Pengerusi, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor di perasmian Seminar Pemantapan Khutbah Negeri Selangor 2009 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories