Ahad, Disember 06, 2009

Intipati Khutbah Eidul-Adha 1430H yang disampaikan oleh Tuan Nazir pada 27 Nov 2009

TAUHID ASAS PERJUANGAN

1. Eidul-Adha adalah suatu bentuk ibadah yang murni yang dilakukan sebagai pengabdian diri kepada Allah SWT.

2. Kerana itu Eidul-Adha mestilah disambut selaras dengan kaifiat syarak, iaitu dengan solat sunat Idul-adha, bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil dan menyembelih binatang korban sebagai lambang pengabdian setulusnya kepada Allah dan suatu pernyataan tanda kesyukuran yang setinggi-tingginya kepada Allah SWT.

3. Eidul-Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, siasah (politik), ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya.

4. Idul-adha mendidik serta membentuk sikap dan syakhsiah umat Islam melalui perisytiharan kalimah tauhid yang diucapkan: "Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan kami tidak mengabdikan diri melainkan hanya kepada-Nya, dengan ketaatan setulus hati Walau pun dibenci oleh orang-orang kafir".

5. Kalimah ini merupakan pernyataan sikap umat Islam untuk menyucikan akidahnya agar bersih dan patuh hanya kepada Allah yang Maha Esa.

6. Eidul-Adha juga disebut sebagai Hari Raya Korban, ianya mengingatkan kita dengan sejarah korban yang paling agung.

7. Kisah penyerahan dan kepatuhan yang paling ikhlas kepada Allah SWT. yang dilakukan oIeh nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail ‘alaihimas-salam, menjadi contoh keluarga mithali yang tahan di uji, pejuang yang sanggup berkorban, sedia meninggalkan kampung halaman dan rela kehilangan segala yang disayangi demi mematuhi perintah Allah SWT.

8. Pengorbanan nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail mengajar umat Islam semangat rela berkorban untuk menjunjung perintah Allah, terutama pada saat umat Islam diserang wabak penyakit "Hubbud Dunia" - iaitu terlalu sayangkan dunia, tamak kepada harta dan terlalu takut hilang sokongan, sehingga ada di antara umat Islam yang sanggup meninggalkan Tuntutan Hukum-hakam Agama dan berjuang mempertahankan maksiat, kemungkaran dan larangan agama semata-mata untuk memuaskan nafsu.

9. Akhirnya tanpa disedari mereka diserang oIeh penyakit "Karohiyatul-Maut iaitu terlalu takut kepada mati" atau tidak berani menyatakan kebenaran, tidak sanggup mempertahankan prinsip dan kesucian agama serta hukum-hakamnya, akibatnya berlakulah perebutan pangkat dan kuasa, tindas-menindas, tekan-menekan, pilih kasih dan sebagainya.

10. Sebagai umat Islam yang benar-benar dapat memahami dan ingin menghayati pengajaran korban nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail itu, maka Hari Raya korban kali ini, kita sama-sama sanggup mengorbankan binatang korban.

11. Dalam masa yang sama sanggupkah kita mengorbankan sifat ‘asobiyah, nafsu buruk, kejahatan yang ada dalam hati kita?.

12. Sanggupkah kita korbankan sifat hasad, memfitnah, menzalimi, menghalang orang membuat kebajikan, menjatuhkan antara satu sama lain dan pelanggaran hukum Allah dengan membiarkannya berlaku di hadapan mata kita?.

13. Biarlah amalan-amalan dan sikap buruk seperti itu kita hapuskan dengan laungan takbir ‘Idul-adha dan sembelihan korban pada hari ini.
Kalimah Tauhid: "Tiada Tuhan melainkan Allah" Menyeru kita umat Islam, atas dasar tauhid kita mesti bersatu, atas dasar tauhid kita berjanji.

14. Atas dasar tauhid juga kita mencapai kemenangan, atas dasar tauhid kita mendokong perjuangan di jalan Allah dan atas dasar tauhid jugalah kita berjuang menghancurkan segala bentuk ‘Asobiyah Jahilliyah (Fahaman kebangsaan yang sempit).

15. Eidul-Adha yang kita sambut dengan takbir yang membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya; mengajar kita umat Islam supaya membesarkan apa sahaja yang ada dalam Islam,
menuntut kita supaya mengagungkan hidup dengan menjunjung syi'ar Islam, melarang kita dari suka berpecah-belah, menegah kita dari hidup berpuak-puak, mengharamkan kita bermusuh-musuhan.

16. Allah membenci kita hidup saling berdendam, Allah sangat memurkai hamba-Nya yang suka fitnah-memfitnah, caci-mencaci dan seribu sifat-sifat keji, buruk dan busuk hati terutama kepada sesama hamba-Nya yang beriman, hamba-Nya yang soleh dan ikhlas dalam hidupnya.

17. Dengan takbir membesarkan Allah, marilah kita besarkan hidup kita dengan beriman sepenuh keinsafan, kepatuhan dan ketakwaan.

18. Marilah kita bina hidup kita dengan penuh harmoni dan telus, semoga Allah meredhai hidup kita di dunia dan di akhirat.

19. Semoga Allah menerima ibadah korban kita semua dan menggolongkan kita dari kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bertakwa.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories