Selasa, Disember 22, 2009

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM 2009

Tanggal 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1431 Hijrah, telah mencatatkan sejarah tersendiri buat pimpinan Masjid As Salam Puchong Perdana di bawah teraju Nazirnya, Tuan Haji Yasim Mohamed bahkan seluruh anak kariah masjid. Pada tarikh tersebut telah berlangsung satu lagi wacana ilmu dari beberapa siri kuliah ilmiah yang sememangnya telah dirancang dan di susun dengan rapi saban hari, minggu dan bulan sebagai santapan rohani para anak kariah.

Buat julung kalinya dan pastinya dengan izin Allah jua, telah berlangsung Forum Perdana Ehwal Islam di bawah tema “Memantap Ukhuwwah, Memperkasa Ummah”. Tajuk ini telah dikupas oleh dua orang ahli panel yang didatangkan khas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu: -
• Al Fadhil Ustaz Halim Din dari Pusat Zakat Selangor; dan
• Al Fadhil Ustaz Mohd Radhi dari Institut Latihan & Dakwah Selangor (ILDAS).
Tuan Nazir Masjid As Salam, Haji Yasim Mohamed sendiri telah bertindak selaku moderator forum pada malam tersebut.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Amat Dihormatkan, Dato’ Seri Indah Diraja, Dato’ Hj Abu Bakar Bin Hj Abd Hamid, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling (Orang Kaya Besar Petaling). Biarpun Dato’ tiba sedikit lewat, namun kehadiran beliau untuk menyertai ratusan anak kariah yang hadir telah memberi makna yang besar kepada pimpinan masjid dan anak kariah sekalian.
Majlis ini telah berjaya menggamit kehadiran ramai anak kariah Masjid As-Salam serta juga orangramai dari kariah yang berhampiran. Majlis telah bermula pada jam 9.15 malam dan berakhir pada 11.00 malam. Ternyata kehadiran yang sebegitu rupa, insyaAllah bakal menjanjikan angka yang lebih besar pada masa akan datang. Keadaan ini menggambarkan betapa anak kariah masjid As Salam khususnya dan umat Islam seluruhnya, dahagakan program ilmu yang seumpama ini. Bahkan kehadiran anak kariah telah memberikan satu suntikan semangat untuk terus berusaha dan bekerja lebih kuat pada seluruh pimpinan dan pegawai masjid untuk berusaha lebih gigih lagi dalam menganjurkan program seumpamanya pada masa-masa akan datang. Konsep ‘santai’ yang cuba diperkenalkan sambil menimba ilmu, mendapat sambutan yang baik. Buktinya, bilangan kerusi yang disediakan tidak mencukupi menyebabkan jawatankuasa terpaksa menghamparkan tikar di kawasan strategik sebagai tindakan spontan, bagi menampung bilangan yang hadir. Sebahagian yang hadir turut membawa bersama ahli keluarga kecil dan besar, tua dan muda.
Moga Allah menurunkan rahmat, taufik, hidayah dan keampunanNya buat kita semua hasil dari mengimarahkan program seumpama ini. Moga Allah turut memberi kekuatan kepada kita semua untuk bertemu lagi dalam program seumpamanya pada masa akan datang dengan penceramah yang lebih hebat dan bilangan kehadiran yang hebat jua, insyaAllah.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories