Selasa, Julai 21, 2009

Keselamatan & Nahi Mungkar - Biro Yang Tidak "Disukai"

Seawal dari penubuhan Biro Nahi Mungkar & Keselamtan Masjid As-Salam Puchong Perdana lagi, semangat kerja sukarela telah ditonjolkan. Pada hemat penulis, sewaktu pembentangan awal pelan perancangan Biro Keselamatan & Nahi Mungkar sedikit menampakkan kepelikan bila mana Pengerusi Biro yang diketuai oleh Hj Masri Saleh membariskan seramai 18 orang ahli. Memang agak terkejut di waktu itu. Manakan tidaknya, kesemua biro-biro lain bertungkus lumus untuk mencukupkan bilangan anggota AJK, namun ianya tidak terjadi kepada biro yang diketuai oleh Hj Masri yang juga terkenal dengan panggilan "Pak Man". Bilangan 18 orang amat mudah diperolehi.

Pak Man juga tidak perlu untuk menunggu arahan-arahan khusus dari Nazir mahu pun Jawatankuasa Masjid, malahan Pak Man dan AJKnya bergerak pantas tanpa disuruh. Bermula dengan penempahan Jaket Keselamatan yang lebih kepada "penjenamaan Majid As-Salam Puchong Perdana" telah ditempah khusus untuk kesemua 18 orang anggota. Untuk menambahkan keberkesanan menjalankan tugas, Pak Man telah melakukan "step" yang seterusnya dengan menempah khusus 18 keping kad "penguatkuasa peringkat Masjid As-Salam Puchong Perdana" yang telah ditanda-tangani oleh Nazir sendiri.



Sebagai pemangkin kepada keselamatan di keseluruhan kawasan kariah Masjid As-Salam, Pak Man telah meletakkan sebuah buku "LOG" khusus untuk anggota yang membuat rondaan melakukan catatan. Rondaan kadang-kadang dibuat dalam bentuk berkala yang amat strategik dari segi "modus operandi"nya. Malahan semenjak seawal rondaan yang dilakukan oleh anggota mereka, pelbagai bentuk kesalahan, kealpaan dan kecuaian telah dapat dihidu oleh anggota-anggota keselamatan ini.

Sememangnya, baru kinilah "kepelikan" yang dibawa oleh Pak Man telah menampakkan hasilnya yang begitu ketara. Datangnya Pak Man dan anggota ke Masjid tanpa perlu dijadualkan. Adanya ruang waktu, pasti ada anggota yang melakukan rondaan lengkap dengan "uniform" dan peralatan.

Pun begitu, Pak Man bukanlah "Pak Man" yang ada sekarang ini sekiranya dia tidak dibantu oleh keseluruhan anggota Biro Naho Mungkar dan keselamatan. Malahan Pak Man begitu beruntung memiliki anggota-anggotanya yang rata-rata tidak kenal erti "MENGANTUK" dan "PENAT" di kala kesemua orang dibuai mimpi-mimpi enak.

Antara anak-anak kariah sedar atau tidak, telah begitu banyak tindakan-tindakan telah ditangani dengan penuh hemah dan bijaksana oleh Biro Nahi Mungkar & Keselamatan ini. Baik dalam bentuk jenayah syariah mahupun jenayah sivil, dari tangkapan khalwat, menyelesaikan kes-ses masalah rumah-tangga, kahwin/cerai, lepak, meminum arak, lumba haram, pecah rumah dan pelbagai lagi. Dan sudah tentu kes-kes sedemikian tidak mengira masa dan waktu, namun di waktu-waktu ramai orang diulik mimpi indah itulah, Pak Man dan anggota-anggotanya melakukan tugas dengan penuh berani, cekal dan ikhlas.

Penulis dalam proses merangka satu kaedah statistik yang memboleh paparan kadar jenayah syariah dan sivil diperlihatkan kepada keselurahan anak kariah masjid As-Salam.

Ikuti siri-siri berikutnya berkaitan dengan beberapa gerak-kerja dan modus-operandi yang telah berjaya dilakukan oleh Biro Keselamatan & Nahi Mungkar dalam membantu menurunkan kadar jenayah khususnya berkaitan dengan kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana.


Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories