Khamis, Jun 04, 2009

Perginya Seorang Sahabat

Itulah sebuah kehidupan dan akhirnya kematian juga akan menjemput seseorang yang bergelar insan, dan kita juga tidak terkecuali, masanya pasti sampai.

Semalam, tepat jam 7:30 petang seorang insan bernama Abd Rahman Bin Otoh, telah kembali ke rahmatullah. Beliau yang berumur 35 tahun telah meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki sekitar 3 - 4 tahun. Kompilasi penyakit berkaitan jantung dan pernafasan merupakan asbab malaikalmaut telah menjemputnya.

Inilah julung-julung kalinya kami pengurusan baru Masjid As-Salam telah sempat bersama-sama menguruskan jenazah Allahyarham bermula dengan membawa pulang jenazah Allahyarham dari Hospital Selangor Medical center, di Shah Alam. Jenazah beliau telah sampai kerumah beliau di Jalan Dahlia Puchong Perdana menggunakan kenderaan jenazah milik Masjid As-Salam. Walaupun itulah pertama kalinya kami pengurusan baru menggunakan kenderaan jenazah tersebut, masih jenazah sampai pada waktu yang dijangkakan.
Hari ini, jenazah telah disembahyangkan di Madrasatul Ikhwan Puchong Perdana pada sekitar jam 9:45 pagi manakala jenazah telah dikebumikan pada jam 11:00 pagi.

Begitulah kehidupan ini. Bila-bila masa sahaja kita akan dijemput menemui penciptaNya Yang Maha Agung. Di kala ketawa hilai, bergurau-senda, kekadang sempat kita memaafkan seseorang kekadangnya kita terus hanyut dibuai khayalan tanpa sedikit pun rasa bersalah atau takut. Kekadang kita bercakap dan bersembang tanpa titik nokhtanya, melontar sahaja apa yang ada dan apa yang terlintas di kepala kita, di ketika dan saat itu.

Pada keesokanya, kita diberitahu, sianu dan sianu telah meninggal. Bagaikan tak percaya, seolah-olah kita dibohongi. Hanya dikala itulah terlintas segala macam ketakutan, tergambar Besar & Agungnya Allah, seram sejuk bulu roma. Namun ketakutan itu tidak kekal di situ. Kebesaran Allah hanyalah dirasakan buat seketika sahaja.

Kita seolah-olah lupa bahawa kita sedang menziarahi jenazah seorang yang dulunya pernah menjadi kawan dan lawan semasa hayatnya. Kita membicarakan perihal si mati. Si mati itu baik, si mati itu buruk. Tidak terkesan langsung rasa takut yang sebentar tadi. Kita hadir bukan untuk mendoakan kepada si mati agar Allah tempatkah rohnya ditempat yang terbaik sebagai insan soleh. Malah, di kala itulah kita mengumpul segala macam dosa buat kita sendiri tanpa henti.
Itu hanyalah sekadar cetusan penulis setelah bersama-sama melihat gelagat kawan-kawan "menguruskan" seorang jenazah yang dulunya adalah seorang teman.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmah dan tempatkan bersama insan soleh. Dan juga semoga keluarga yang beliau tinggalkan buat selama-lamanya tabah menghadapi kehidupan ini.

Untuk Allahyarham, saya hadiahkan "Al-Fatihah".



Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories