Ahad, Jun 07, 2009

Tazkirah Mingguan Nazir

Kita sedia maklum bahawa institusi keluarga merupakan asas sebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh.Hakikat yang tidak boleh dinafikan juga bahawa kejayaan dan keharmonian dalam sebuah keluarga adalah bermula dari ketua keluarga.

Islam meletakkan kepimpinan atau ketua keluarga itu ialah kepada seorang bapa yang bertanggung jawab dalam memastikan keluarganya dalam keadaan aman dan sentiasa diberkati Allah.



Sebagai seorang ketua keluarga, kita hendaklah menunjukkan dan mempamerkan contoh dan tauladan yang terbaik untuk diikuti dan dicontohi oleh anak dan isteri kita. Keluarga yang menginginkan kebahagiaan juga hendaklah menjiwai dan mengamalkan sifat yang baik dan mulia.

Masyarakat kita pada hari ini kurang menjaga dan menjiwai akhlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w menyebabkan kita dilanda dengan gejala sosial yang kian meruncing.

Anak-anak tiada contoh dan teladan yang yang boleh dijadikan rujukan akibat dari ketandusan akhlak dan kerosakan sifat ketua keluarga sendiri. Ibu-bapa kurang penekanan berkaitan adab dan budi bahasa kerana bahasa pertuturan yang digunakan dirumah amat mengecewakan dan mengaibkan.

Bahasa-bahasa yang kasar, kesat, kurang beradab, lucah dan seumpamanya sering dituturkan oleh ketua keluarga menyebabkan anak-anak terlalu mudah untuk menuturkan perkataan tersebut di luar rumah dan dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh yang demikian sebagai ketua keluarga, kita perlu sedar tentang peranan dan tanggungjawab besar yang perlu ditanggung oleh ketua keluarga dalam melahirkan sebuah keluarga yang bahagia.

Bagi merialisasikan hasrat untuk melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh dalam sebuah institusi keluarga maka bapa selaku pemimpin keluarga hendaklah mengambil perhatian berat tentang perkara berikut;

1. Sentiasa mengutamakan dan peka tentang pendidikan agama kepada diri dan keluarga kita.

2. Ibu bapa perlu memastikan rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal lagi baik.

3. Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk bersama ahli keluarga.

Sebagai bapa yang prihatin, kita perlu sentiasa meluangkan masa untuk anak remaja kita. Berkongsilah pengalaman dan membina kasih sayang dengan memahami dan membimbing kemahuan mereka.

Bantulah mereka dalam mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka. Yakinkanlah mereka bahawa bapa sebagai insan tempat dijadikan rujukan terbaik.

Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk kita menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah.

Marilah kita sama-sama kembali menghayati tugas dan peranan kita sebagi ketua keluarga demi menjamin keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga kita. Insya-allah...

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories